Intervensi untuk rawatan skabies (kudis buta)

Skabies (kudis buta) adalah jangkitan parasit kulit. Ia berlaku di seluruh dunia, terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik, kesesakan, dan gangguan sosial, dan ianya endemik di negara-negara yang kekurangan sumber. Prevalen global skabies dianggarkan sebanyak 300 juta kes, tetapi tahap jangkitan berbeza-beza antara negara dan masyarakat. Tungau betina membuat lubang di bawah kulit untuk bertelur, telur tersebut menetas dan bertambah biak. Jangkitan ini boleh merebak dari seorang kepada seorang yang lain melalui sentuhan kulit secara langsung, termasuk hubungan seks. Ia menyebabkan kegatalan yang amat sangat dengan letusan kulit. Pelbagai ubat-ubatan telah dihasilkan untuk merawat skabies, termasuk ubat-ubatan herba dan tradisional. Kajian semula ke atas kajian-kajian sebelum ini bertujuan menjawab kesemua persoalan ini. Penulis mengenal pasti 22 kajian kecil melibatkan 2676 orang, di mana 19 daripada kajian ini dijalankan di negara-negara yang kekurangan sumber. Permethrin merupakan rawatan topikal yang paling berkesan untuk skabies, dan ivermectin merupakan rawatan oral yang berkesan. Walau bagaimanapun, ivermectin tidak dilesenkan untuk indikasi ini di kebanyakan negara. Kesan-kesan buruk seperti ruam, muntah dan sakit perut telah dilaporkan, tetapi kajian-kajian yang telah dilakukan adalah terlalu kecil untuk betul-betul menilai kesan buruk serius tetapi jarang yang mungkin berlaku. Tiada kajian ke atas ubat-ubatan herba atau tradisional telah dikenal pasti untuk dirangkumkan.

Kesimpulan penulis: 

Permethrin topikal didapati sebagai rawatan yang paling berkesan untuk skabies. Ivermectin didapati sebagai rawatan oral yang berkesan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengenalpasti keberkesanan malathion, terutamanya apabila dibandingkan dengan permethrin, dan pengurusan skabies dalam persekitaran institusi dan pada peringkat komuniti.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Skabies adalah jangkitan parasit yang disebabkan oleh tungau Sarcoptes scabei Ia adalah satu masalah kesihatan awam yang biasa dengan anggaran prevalen global sebanyak 300 juta kes. Kesan buruk yang serius telah dilaporkan untuk beberapa ubat yang digunakan untuk merawat skabies.

Objektif: 

Untuk menilai ubat-ubatan topikal dan sistemik untuk merawat skabies.

Strategi pencarian: 

Pada bulan Jun 2010, kami telah meneliti daftar khusus kumpulan penyakit berjangkit Cochrane, CENTRAL (The Cochrane Library 2010, Isu 2), MEDLINE, EMBASE, LILACS dan INDMED. Pada bulan Ogos 2010, kami juga meneliti kesusteraan kelabu dan sumber pendaftaran kajian. Kami juga memeriksa senarai-senarai rujukan dari kajian yang didapati.

Kriteria pemilihan: 

Kajian rawak terkawal rawatan ubat untuk skabies.

Pengumpulan data dan analisis: 

Dua penulis menilai secara berasingan kualiti kajian dan data yang diekstrak. Keputusan telah dibentangkan sebagai nisbah ratio dengan selang keyakinan 95 % dan data digabungkan bila mana sesuai.

Keputusan utama: 

Dua puluh dua kajian kecil melibatkan 2676 orang telah dirangkumkan. Satu kajian adalah plasebo terkawal, 18 membandingkan dua atau lebih rawatan ubat, tiga membandingkan regimen rawatan, dan satu membandingkan pembawa ubat yang berbeza.

Lebih kurang kegagalan rawatan berlaku dalam hari ke-tujuh dengan ivermectin oral berbanding plasebo dalam satu kajian kecil (55 peserta). Permethrin topikal didapati lebih berkesan berbanding ivermectin oral (140 peserta, 2 kajian), cromatimon topikal (194 peserta, 2 kajian), dan lindane topikal (753 peserta, 5 kajian). Permethrin juga didapati lebih berkesan dalam mengurangkan kegatalan berbanding samada dengan crotamiton (94 peserta, satu kajian) atau lindane (490 peserta, 2 kajian). Tiada perbezaan diperolehi di antara permethrin (pyrethroid sintetik) dan rawatan topikal berdasarkan pyrethrin semulajadi (40 peserta, satu kajian) dan di antara permethrin dan bensyl benzoate (53 peserta, satu kajian), walau bagaimanapun kedua-dua kaijian adalah kecil.

Tiada perbezaan yang ketara diperolehi dalam sejumlah rawatan yang gagal di antara crotamiton dan lindane (100 peserta, satu kajian), lindane dan sulfur (68 peserta, satu kajian), benzyl benzoate dan sulfur (158 peserta, satu kajian) dan benzyl benzoate dan pyrethrins yang disinergi secara semulajadi (240 peserta, satu kajian); kesemuanya adalah rawatan topikal. Tiada kajian dengan malathion telah dikenalpasti.

Tiada kesan buruk yang serius telah dilaporkan. Beberapa kajian telah melaporkan reaksi kulit pada peserta rawak yang menerima rawatan topikal. Terdapat sesekali laporan sakit kepala, sakit perut, cirit-birit, muntah, dan tekanan darah yang rendah (hipotensi).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rahimah Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi rahimah@usm.my. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College; mltan@pmc.edu.my).

Tools
Information
Share/Save