Suplemen vitamin antioksidan dan mineral untuk melambatkan perkembangan degenerasi makula yang berkaitan dengan umur.

Apakah matlamat ulasan ini?Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui sama ada pengambilan suplemen vitamin antioksidan dan mineral dapat melambatkan perkembangan AMD dan mencegah kehilangan penglihatan. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai 19 kajian.

Mesej kekunci: Pengambilan suatu suplemen multivitamin antioksidan mungkin boleh melambatkan perkembangan AMD. Kebanyakan manfaat dapat dilihat dalam kalangan orang yang keadaannya berisiko tinggi untuk merosot. Walaupun suplemen vitamin secara amnya dianggap selamat, kajian yang terlibat dalam ulasan ini tidak menunjukkan bukti yang baik tentang keselamatannya kerana saiz kajian secara umumnya terlalu kecil.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?AMD adalah suatu penyakit pada kawasan pusat (makula) belakang mata (retina). Keadaan makula merosot dengan meningkatnya usia. Dalam sesetengah orang, kemerosotan ini berlaku dengan lebih cepat, dan ini berkaitan dengan penampilan yang tertentu pada belakang mata. Pada peringkat terawal (AMD awal), tompok-tompok kuning (drusen) dapat dilihat di bawah retina oleh pakar kesihatan mata semasa memeriksa mata. Orang yang terlibat mungkin tidak sedar bahawa ia bermasalah. Apabila AMD menjadi semakin teruk, ia boleh membawa kepada kehilangan sel-sel bahagian belakang mata, yang diperlukan untuk penglihatan. Ini dikenali sebagai atrofi geografi. Kadang-kadang, salur darah baru (berbahaya) tumbuh pada makula. Saluran darah baru ini boleh berdarah dan menyebabkan parut. Ini dikenali sebagai neovascular atau AMD basah. Sebarang kerosakan makula boleh menjejaskan penglihatan, terutamanya penglihatan bahagian pusat. Neovascular AMD dan geografi atrofi dikenali sebagai AMD lewat.

Vitamin antioksidan mungkin dapat membantu melindungi makula daripada kemerosotan ini dan kehilangan penglihatan Vitamin C, E, Beta-karotena, lutein, Zeaxanthin dan zink adalah contoh vitamin antioksidan yang biasa dijumpai dalam suplemen vitamin.

Penyelidik Cochrane hanya melihat kesan suplemen ini pada orang yang sudah mempunyai AMD. Terdapat satu lagi kajian Cochrane mengkaji kesan suplemen ini ke atas orang yang masih belum mempunyai AMD.

Apakah keputusan utama ulasan ini?Penyelidik Cochrane mendapati terdapat 19 kajian yang berkaitan. Sepuluh kajian adalah dari Eropah, enam dari USA, dua dari China, dan satu lagi dari Australia. Kajian-kajian ini membandingkan suplemen multivitamin, zink, vitamin E dan lutein dan Zeaxanthin dengan placebo.

Pengambilan antioksidan vitamin serta zink mungkin memperlahankan perkembangan ke AMD lewat dan kehilangan penglihatan (kepastian bukti: sederhana). Ini boleh membawa sedikit peningkatan dalam kualiti hidup (kepastian bukti: rendah).Pengambilan Lutein sahaja (atau dengan gabungan Zeaxanthin) mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas perkembangan AMD lewat dan kehilangan penglihatan (kepastian bukti: rendah).Pengambilan vitamin E semata-mata mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas perkembangan AMD lewat dan kehilangan penglihatan (kepastian bukti: rendah).

Walaupun suplemen vitamin secara amnya dianggap selamat, kajian yang terlibat tidak menunjukkan bukti yang baik tentang keselamatan kerana secara umumnya, saiz kajian adalah terlalu kecil dan kesan buruk yang dilaporkan tidak konsisten.

Adakah ulasan ini terkini?Penyelidik Cochrane telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga ke 29 Mac 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save