Persediaan topikal untuk mencegah tanda regangan semasa mengandung.

Tanda regangan pada kulit biasanya terjadi semasa mengandung, terutamanya dalam trimester ketiga. 50% hingga 90% wanita mengalami perkara ini. Tanda regangan ini muncul sebagai garisan merah atau jalur-jalur yang pudar secara perlahan selepas hamil dan meninggalkan garisan putih pada kulit. Tanda regangan biasanya terdapat pada bahagian perut, payu dara dan paha. Tanda regangan tidak hilang sepenuhnya, oleh itu apa-apa rawatan yang boleh mencegah kemunculan tanda regangan akan disambut baik oleh ramai wanita. Dalam ulasan ini, kami telah mengenal pasti ujian rawak terkawal dan ujian separa rawak terkawal yang membandingkan krim topikal, losyen dan salap yang mengandungi bahan-bahan aktif dengan plasebo atau tiada rawatan, serta persediaan topikal yang mengandungi bahan-bahan aktif dengan persediaan topikal lain.

Sebanyak enam ujian ( yang melibatkan seramai 800 wanita) termasuk dalam ulasan ini. Kami mendapati bahawa penggunaan sapuan luaran pada kulit pada kawasan yang selalu terjadi tanda regangan semasa mengandung tidak menghalang kemunculan tanda regangan. Hanya tiga ujian (yang melibatkan 461 orang wanita) menilai keterukan kesan regangan dan didapati tiada perbezaan yang ketara ditunjukkan. Persiapan yang digunakan termasuk Alphastria, Trofolastin, Verum, minyak zaitun dan mentega koko, semua ini mengandungi vitamin E; Alphastria dan Verum juga mempunyai asid hyaluronic. Daripada enam ujian tersebut, kami dapati tiga ujian mempunyai risiko berat sebelah yang rendah. Semua ujian yang dijalankan agak kecil, dengan empat daripada enam ujian tersebut melibatkan kurang daripada 100 orang wanita. Ujian-ujian tersebut juga berbeza daripada segi permulaan penggunaan sapuan luaran ini, ada yang bermula daripada trimester pertama sehingga 20 minggu pertama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my

Tools
Information