Kebuk pegangan (peruang) berbanding penebula untuk penghantaran pelega beta-agonis dalam rawatan serangan asma

Soalan ulasan

Apabila seseorang mengalami serangan asma, adakah selamat dan berkesan untuk menggunakan peruang dan bukan penebula?

Latar belakang

Semasa serangan asma, saluran udara (tiub di dalam paru-paru) menjadi sempit menyukarkan pernafasan. Respon awal terhadap serangan asma adalah merawat dengan ubat yang boleh membuka saluran udara dan memudahkan pernafasan. Ubat-ubat ini dipanggil bronkodilator dan dalam ulasan ini kami mencari secara khusus kelas bronkodilator yang dipanggil beta-agonis (contohnya salbutamol). Ubat-ubatan ini boleh diambil terus dari alat sedut, tetapi semasa serangan asma, ia lebih mudah diambil menggunakan sama ada peruang atau penebula. Peruang adalah satu kebuk berongga. Satu semburan ubat dari alat sedut ditambah ke dalam kebuk dan kemudian orang akan menyedut nafas masuk dan keluar secara normal (juga diterangkan sebagai pernafasan tidal), dari pelekap mulut di kebuk. Penebula adalah mesin dengan topeng yang menutup mulut dan hidung seseorang dan melaluinya aliran ubat dan udara (atau oksigen) yang berterusan disedut masuk dan keluar secara normal.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mendapati 39 kajian klinikal melibatkan 1897 kanak-kanak dan 729 orang dewasa. Tiga puluh tiga kajian dilakukan di bilik kecemasan (atau jabatan kecemasan) dan persekitaran komuniti (seperti surgeri GP), dan enam kajian adalah pada pesakit dalam (orang di hospital) dengan asma akut (207 kanak-kanak dan 28 orang dewasa). Secara keseluruhannya, kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana.

Apakah yang diberitahu oleh kajian-kajian tersebut?

Mengambil beta-agonis melalui peruang atau penebula di jabatan kecemasan tidak membuat perbezaan kepada bilangan orang dewasa yang dimasukkan ke hospital, manakala dalam kalangan kanak-kanak, kami agak yakin penebula tidaklah lebih baik daripada peruang untuk mencegah kemasukan ke hospital.

Dalam kalangan kanak-kanak, tempoh di jabatan kecemasan adalah jauh lebih pendek apabila peruang digunakan dan bukan penebula. Purata tempoh di jabatan kecemasan untuk kanak-kanak yang diberi rawatan penebula adalah 103 minit. Kanak-kanak yang diberi rawatan melalui peruang menghabiskan purata 33 minit lebih pendek.

Dalam kalangan orang dewasa, tempoh di jabatan kecemasan adalah serupa untuk kedua-dua kaedah. Walau bagaimanapun, kajian dewasa dijalankan sedikit berbeza yang mungkin menjadikannya lebih sukar untuk menunjukkan perbezaan tempoh di jabatan kecemasan. Kerana semua kajian dewasa menggunakan reka bentuk yang disebut "double-dummy", orang dewasa menerima peruang DAN penebula (sama ada beta-agonis dalam peruang dan penebula "dummy" atau sebaliknya) yang bermakna kedua-dua kumpulan orang berada di jabatan kecemasan selagi mereka mengambil masa untuk mengambil kedua-dua rawatan.

Ujian fungsi paru-paru juga serupa untuk kedua-dua kaedah dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Kadar denyut adalah lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak yang mengambil beta-agonis melalui peruang (perbezaan purata -5% garis dasar), dan berisiko lebih rendah untuk mendapat tremor.

Kesimpulan

Penyedut dos terukur dengan peruang boleh berfungsi sebaik penebula basah dalam menghantar beta-agonis dalam kalangan kanak-kanak dengan asma akut, tetapi kami kurang pasti tentang keputusannya dalam kalangan dewasa.

Ulasan adalah terkini sehingga Februari 2013.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information