Pendidikan pemakanan antenatal dan penambahan pengambilan tenaga dan protein semasa hamil untuk memperbaiki natijah bayi.

Apakah isunya?

Adakah nasihat pemakanan atau penambahan untuk meningkatkan pengambilan tenaga dan protein semasa hamil dapat menambah baik natijah bayi, dan adakah sebarang kesan buruk? Adakah intervensi tersebut memberi impak yang berbeza ke atas wanita hamil yang kurang khasiat dan cukup khasiat serta bayi mereka?

Mengapakah perkara ini penting?

Semasa hamil, bayi yang membesar di dalam rahim menerima semua zat makanan daripada ibunya. Kekurangan pemakanan semasa hamil boleh membawa kepada malnutrisi dan natijah buruk pada bayi.Oleh itu, nasihat kepada wanita tentang pemakanan dan suplemen semasa hamil boleh membantu bayi untuk membesar dan berkembang maju.

Apakah bukti yang kami dapati

Ulasan ini termasuk 17 ujian rawak terkawal yang melibatkan 9030 wanita. Kualiti kajian yang dimasukkan adalah bertahap rendah ke sederhana. Kami menilai beberapa aspek nasihat pemakanan dan penambahan dan menghasilkan empat temuan utama berikut.

(1) Pemberian nasihat pemakanan menghasilkan peningkatan dalam pengambilan protein ibu, mengurangkan jumlah kelahiran bayi yang terlalu awal (dua kajian melibatkan 449 wanita) serta mengurangkan jumlah kelahiran bayi yang rendah berat badan (satu ujian melibatkan 300 wanita), Satu kajian yang melibatkan 389 wanita menunjukkan peningkatan ukuran lilit kepala semasa lahir. Terdapat juga lebih ramai bayi dilahirkan dengan berat badan yang lebih tinggi dalam kalangan ibu-ibu yang kurang pemakanan (dua kajian melibatkan 320 wanita).

(2) Pemberian tenaga dan protein yang seimbang kepada ibu-ibu dikaitkan dengan pengurangan jumlah bayi yang meninggal dunia semasa proses kelahiran (lima kajian, 3408 wanita), peningkatan yang jelas dalam berat lahir (11 kajian, 5385 wanita) serta pengurangan jumlah bayi yang kecil untuk usia kandungan (tujuh kajian, 4408 wanita) Walaubagaimanapun, impak jangka panjang ke atas kesihatan bayi adalah tidak pasti, termasuk kumpulan wanita yang kurang pemakanan.

(3) Penambahan protein tinggi (satu kajian melibatkan 1051 wanita) menunjukkan tiada manfaat kepada wanita serta tiada potensi bahaya ke atas bayi melalui peningkatan jumlah bayi yang kecil untuk usia kandungan semasa lahir.

(4) Penambahan protein isokalori (iaitu suplemen seimbang di mana protein menggantikan kuantiti sama nutrien lain seperti lemak dan karbohidrat): dalam berat lahir dan peningkatan berat gestasi mingguan, menunjukkan tiada manfaat kepada wanita atau bayi mereka (dua kajian melibatkan 184 wanita).

Apakah yang dimaksudkan?

Pemberian nasihat pemakanan atau suplemen tenaga dan protein seimbang kepada wanita semasa hamil adalah bermanfaat. Walaubagaimanapun. tiada cukup bukti tentang suplemen protein isokalori yang dianggap kurang membantu dan suplemen protein tinggi yang mungkin membahayakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yap Kar Suan (Melaka Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi yapkarsuan@gmail.com. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information
Share/Save