Latar belakang dan persoalan ulasan
Beberapa jenis ubat dan supplemen yang digunakan untuk merawat kemurungan (antidepresan) telah juga diuji untuk melihat jika ianya dapat membantu perokok berhenti merokok. Dua daripada rawatan ini - bupropion (juga dipanggil Zyban) dan nortriptyline - kadang-kadang diberikan untuk membantu orang berhenti merokok. Ulasan ini untuk melihat sama ada penggunaan antidepresan sebenarnya membantu orang berhenti merokok (selama enam bulan atau lebih lama), dan juga melihat keselamatan penggunaan ubat-ubatan ini.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini merangkumi 115 kajian yang mengkaji manfaat dan keselamatan antidepresan yang berbeza ketika digunakan untuk berhenti merokok. Kebanyakan kajian dijalankan dikalangan dewasa. Kami menyertakan mana-mana kajian bagi apapun tempoh masa ketika melihat keselamatan ubatan, tetapi kajian perlu sekurang-kurangnya enam bulan ketika menilai sama ada seseorang itu berjaya berhenti merokok. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2019.
Keputusan utama
Dengan menggunakan antidepresan, bupropion, kemungkinan seseorang itu berhenti merokok adalah 52% hingga 77%, iaitu sama dengan lima hingga tujuh orang perokok yang berjaya berhenti selama enam bulan atau lebih bagi setiap seratus orang yang cuba berhenti merokok. Terdapat bukti bahawa orang yang menggunakan antidepresan, nortriptyline, untuk berhenti merokok juga meningkatkan peluang mereka untuk berjaya. Tidak ada bukti yang cukup untuk menentukan sama ada antidepresan lain membantu orang untuk berhenti merokok.
Terdapat bukti bahawa bupropion meningkatkan kesan yang tidak diingini, terutama yang berkaitan dengan kesihatan mental, dan kesan yang tidak diingini dapat meningkatkan kemungkinan orang berhenti menggunakan ubat tersebut. Namun, bukti tersebut tidak menunjukkan bahawa bupropion lebih cenderung mengakibatkan kematian, dimasukkan ke hospital, atau kejadian yang mengancam nyawa, seperti sawan. Tidak ada cukup maklumat untuk membuat kesimpulan yang jelas mengenai keselamatan nortriptyline untuk berhenti merokok.
Bukti tidak menunjukkan bahawa mengambil bupropion pada masa yang sama dengan ubat berhenti merokok yang lain, seperti varenicline (kadang-kadang dikenali sebagai Champix atau Chantix) atau terapi penggantian nikotin menjadikan orang lebih cenderung berhenti merokok. Orang cenderung berhenti merokok ketika menggunakan bupropion seperti ketika menggunakan terapi penggantian nortriptilin atau nikotin, namun orang yang menggunakan varenicline lebih cenderung berhenti daripada mereka yang menggunakan bupropion.
Kepastian bukti
Terdapat bukti kepastian tinggi bahawa bupropion membantu orang untuk berhenti merokok, yang bermaksud penyelidikan lebih lanjut tidak mungkin mengubah kesimpulan ini. Walau bagaimanapun, terdapat juga bukti kepastian tinggi yang menunjukkan bahawa orang yang menggunakan bupropion lebih cenderung berhenti minum ubat kerana kesan yang tidak menyenangkan daripada mereka yang mengambil pil tanpa ubat (plasebo). Kepastian bukti adalah sederhana, rendah atau sangat rendah untuk soalan utama lain yang kami kaji. Ini bermakna penemuan soalan-soalan tersebut mungkin berubah apabila kajian-kajian lain dijalankan. Dalam kebanyakan kes kepastian bukti adalah sederhana, rendah atau sangat rendah kerana tidak banyak kajian dilakukan atau saiz kajian yang terlalu kecil.
Diterjemahkan oleh Nur Farahim Daud dan dikemaskini oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my