Podcast : Adakah intervensi berhenti merokok dalam rawatan atau pemulihan dadah membantu perokok untuk berhenti?

Terdapat banyak ulasan sistematik Cochrane telah menilai kesan intervensi berhenti merokok. Satu ulasan yang diterbitkan pada bulan November 2016 telah mengkaji kesan intervensi berhenti merokok ke atas mereka yang sedang menjalani rawatan pemulihan dadah. Menurut penyelidik utama Dorie Apollonio dari University of California San Francisco di Amerika Syarikat,  kadar merokok di kalangan mereka yang menjalani rawatan untuk ketagihan alkohol atau dadah adalah tinggi. Walaubagaimanapun, intervensi untuk berhenti merokok tidak ditawarkan kepada mereka pada masa yang sama.

- Baca transkrip

Terdapat banyak ulasan sistematik Cochrane telah menilai kesan intervensi berhenti merokok. Satu ulasan yang diterbitkan pada bulan November 2016 telah mengkaji kesan intervensi berhenti merokok ke atas mereka yang sedang menjalani rawatan pemulihan dadah. Menurut penyelidik utama Dorie Apollonio dari University of California San Francisco di Amerika Syarikat, kadar merokok di kalangan mereka yang menjalani rawatan untuk ketagihan alkohol atau dadah adalah tinggi. Walaubagaimanapun, intervensi untuk berhenti merokok tidak ditawarkan kepada mereka pada masa yang sama.

Ini disebabkan oleh anggapan bahawa intervensi berhenti merokok mungkin menyebabkan individu yang sedang menerima rawatan mempunyai kemungkinan rendah untuk pulih daripada ketagihan. Para penyelidik telah mengkaji keberkesanan intervensi berhenti merokok ke atas individu yang sedang menerima rawatan atau dalam pemulihan dadah. Mereka juga mengkaji sama ada intervensi berhenti merokok mempunyai sebarang kesan pada kemungkinan untuk pulih daripada pergantungan dadah.
Penyelidik mendapati sebanyak 34 kajian terkawal rawak berkenaan rawatan berhenti merokok dalam kalangan individu yang sedang menerima rawatan atau dalam pemulihan penyalahgunan dadah lain, melibatkan lebih kurang 5800 orang peserta di lima negara. Keputusan daripada ulasan tersebut adalah menggalakkan. Walaubagaimanapun, secara keseluruhan kualiti kajian adalah rendah kerana banyak kajian tidak memberikan maklumat yang mencukupi berkaitan kaedah penyelidikan yang digunakan. Kajian-kajian tersebut juga melibatkan kaedah rawatan yang sangat berbeza dan ini menyukarkan proses perbandingan.
Antara jenis intervensi berhenti merokok yang dikaji termasuk kaunseling (yang melibatkan satu sesi nasihat ringkas atau beberapa sesi sokongan tingkah laku, sama ada secara individu atau dalam kumpulan); ubat (dikenali sebagai farmakoterapi; termasuk terapi penggantian nikotin, dengan atau tanpa ubat lain yang menolong perokok berhenti merokok); atau satu gabungan kaunseling dengan farmakoterapi. Penyelidik telah menggabungkan keputusan kajian yang berbeza untuk setiap jenis rawatan individu yang berada dalam kumpulan kawalan yang menerima nasihat ringkas tentang berhenti merokok atau diletakkan dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan. Keputusan daripada kebanyakan kajian menunjukkan individu berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan selepas memulakan rawatan.
Sebanyak sebelas kajian yang melibatkan 1800 orang responden menunjukkan intervensi farmakoterapi untuk berhenti merokok adalah berkesan untuk menghentikan tabiat merokok. Sebaliknya, sebelas kajian yang lain dengan jumlah responden lebih kurang sama yang melibatkan intervensi kaunseling sahaja tanpa farmakoterapi tidak menunjukkan kesan yang sama. Terdapat bukti bahawa individu yang diberikan gabungan farmakoterapi dengan kaunseling lebih berjaya menghentikan tabiat merokok, berdasarkan dua belas kajian dengan 2200 peserta.
Penyelidik telah menggunakan data daripada 2231 peserta dalam sebelas kajian untuk mengkaji kesan intervensi berhenti merokok terhadap penggunaan alkohol dan dadah. Mereka mendapati bahawa intervensi tersebut tidak menyebabkan individu lebih cenderung untuk bergantung kepada alkohol dan dadah.
Secara keseluruhannya, keputusan ulasan sitematik ini mencadangkan intervensi berhenti merokok dimasukkan dalam rawatan atau pemulihan dadah. Kajian ini mendapati bahawa intervensi ini membantu mereka untuk berhenti merokok dan intervensi ini tidak menjejaskan rawatan pemulihan dadah.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keputusan kajian tersebut, termasuk dapatan berasingan untuk individu yang ketagihan alkohol ataupun dadah seperti heroin, anda boleh dapatkan secara atas talian di Cochrane library dot com dengan memasukkan kata kunci “berhenti merokok dan penyalahgunaan dadah” dalam carian anda.

Fail media digital ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia oleh Tan Yin Xin dan disunting oleh Anza Elias dari International Medical University

Tutup transkrip