Fail Media Digital: Rawatan untuk tekanan darah tinggi dalam kalangan orang dewasa berumur 18 hingga 59 tahun

Beberapa ubat telah terbukti menurunkan tekanan darah dalam kalangan mereka yang mengalami penyakit darah tinggi, tetapi ia penting untuk mengetahui manfaatnya secara berasingan bagi golongan dewasa yang sihat berusia bawah 59 tahun dan mereka yang berusia 60 tahun atau lebih. Satu ulasan Cochrane untuk kumpulan umur yang lebih tua telah sedia ada, dan Vijaya Musini dari University of British Columbia di Vancouver, Kanada dan rakan sekerjanya dalam kumpulan Cochrane Hipertensi telah menerbitkan ulasan Cochrane yang pertama untuk kumpulan umur yang lebih muda pada bulan Ogos 2017. Di sini, Vijaya mengulas lebih lanjut perihal ini.

- Membaca transkrip

Selamat sejahtera, saya Wong Chun Hoong dari International Medical University, menterjemahkan dan merakamkan fail media digital ini. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor dari Universiti Sains Malaysia.

Beberapa ubat telah terbukti menurunkan tekanan darah dalam kalangan mereka yang mengalami penyakit darah tinggi, tetapi ia penting untuk mengetahui manfaatnya secara berasingan bagi golongan dewasa yang sihat berusia bawah 59 tahun dan mereka yang berusia 60 tahun atau lebih. Satu ulasan Cochrane untuk kumpulan umur yang lebih tua telah sedia ada, dan Vijaya Musini dari University of British Columbia di Vancouver, Kanada dan rakan sekerjanya dalam kumpulan Cochrane Hipertensi telah menerbitkan ulasan Cochrane yang pertama untuk kumpulan umur yang lebih muda pada bulan Ogos 2017. Di sini, Vijaya mengulas lebih lanjut perihal ini.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah satu keadaan kronik yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian dan masalah kesihatan seperti penyakit jantung, angin ahmar dan penyakit buah pinggang. Bagi pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi paras sederhana hingga teruk, tekanan darah perlu diuruskan terlebih dahulu dengan mengubahsuai gaya hidup dan tingkah laku. Tetapi, jika langkah-langkah ini tidak mencukupi, maka pesakit mungkin perlu beralih ke pilihan farmakoterapi.
Ulasan sistematik telah menunjukkan manfaat terapi ubat antihipertensi dalam mengurangkan morbiditi dan kematian kardiovaskular tetapi kebanyakan bukti adalah berdasarkan kepada mereka yang berusia 60 tahun dan lebih. Penyelidik ingin menumpukan perhatian kepada kesan terhadap orang dewasa yang berusia 18 hingga 59 tahun dengan tekanan darah tinggi paras ringan hingga sederhana.
Penyelidik mengkaji tujuh kajian rawak dengan lebih daripada 17,000 peserta, yang telah disusuli secara puratanya, selama 5 tahun. Rawatan dalam kebanyakan kajian melibatkan dos diuretik yang tinggi atau perencat beta, manakala kesan tekanan darah adalah sangat berbeza antara kajian menyebabkan penyelidik tidak pasti tentang saiz kesan penurunan tekanan darah tersebut.
Secara keseluruhannya, bukti berkualiti rendah diperolehi bahawa terapi antihipertensi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan langsung terhadap kematian atau penyakit jantung koronari, jika dibandingkan dengan plasebo atau kumpulan kawalan yang tidak menerima ubat. Tetapi, ia boleh mengurangkan jumlah kematian dan morbiditi kardiovaskular dari 4.1% hingga 3.2% dalam tempoh lima tahun yang disebabkan oleh pengurangan angin ahmar.
Oleh itu, ulasan penyelidik baru menunjukkan bahawa ubat-ubatan antihipertensi yang digunakan untuk merawat orang dewasa sihat yang berumur 18 hingga 59 tahun dengan hipertensi paras ringan hingga sederhana menyebabkan penurunan mutlak yang kecil dari segi kematian dan morbiditi kardiovaskular, terutama sekali yang disebabkan oleh pengurangan kematian dan morbiditi angin ahmar. Penyebab kematian dan penyakit jantung koronari tidak berkurangan, dan terdapat kurang bukti yang baik mengenai penarikan diri peserta daripada kajian akibat kesan sampingan. Lebih banyak kajian diperlukan untuk membantu penyelidik memahami kesan ubat-ubatan dalam kumpulan umur ini. Kajian ini harus bertahan sekurang-kurangnya 10 tahun dan harus membandingkan kelas-kelas dan strategi-strategi ubat-ubatan.

Jika anda ingin membaca penemuan penuh daripada ulasan Cochrane dan untuk melihat kemas kini sekiranya kajian tambahan dilakukan, sila layari laman web Cochrane Library dot com dan cari 'farmakoterapi dan tekanan darah tinggi'.

Tutup transkrip
Share/Save