Podcast : Sentuhan awal kulit ke kulit bagi ibu dan bayi baru lahir yang sihat

Suatu Ulasan Cochrane yang boleh digunakan oleh ratusan ribu orang setiap hari melihat kesan-kesan sentuhan awal kulit ke kulit untuk ibu-ibu dan bayi baru lahir yang sihat. Ulasan ini telah dikemaskini pada bulan November 2016 dan penulis utamanya, Elizabeth Moore dari Sekolah Kejururawatan di Vanderbilt University, Nashville USA menerangkan penemuan terkini. 

- Baca transkrip

Suatu Ulasan Cochrane yang boleh digunakan oleh ratusan ribu orang setiap hari melihat kesan-kesan sentuhan awal kulit ke kulit untuk ibu-ibu dan bayi baru lahir yang sihat. Ulasan ini telah dikemaskini pada bulan November 2016 dan penulis utamanya, Elizabeth Moore dari Sekolah Kejururawatan di Vanderbilt University, Nashville USA menerangkan penemuan terkini.

Dalam sentuhan kulit ke kulit, bayi baru lahir diletakkan tanpa baju di atas dada ibu yang terdedah, semasa atau tidak lama selepas dilahirkan. Namun demikian, pada abad kedua puluh, ia menjadi amalan biasa untuk memisahkan ibu dari bayi mereka semasa lahir, walaupun terdapat bukti bahawa ia mungkin berbahaya untuk berbuat demikian. Ulasan Cochrane ini menguatkan nilai sentuhan awal kulit ke kulit dengan memeriksa penyelidikan yang sedia ada mengenai kesannya terhadap penyusuan susu ibu, tingkah laku ibu dan bayi serta fisiologi bayi.

Para penulis ulasan ini memasukkan penyelidikan di mana ibu-ibu dan bayi-bayi mereka yang sihat yang mendapat sentuhan kulit ke kulit kurang daripada 24 jam selepas dilahirkan dibandingkan dengan mereka yang tidak mendapat sentuhan tersebut. Mereka menjumpai sebanyak 46 kajian dengan hampir 4000 ibu dan bayi mereka, dan dapat menggunakan 38 daripada kajian ini, dengan lebih kurang 3500 ibu dan bayi, dalam analisis mereka. Lapan kajian melibatkan ibu-ibu yang menjalani pembedahan caesarean untuk kelahiran dan enam kajian mengkaji bayi-bayi pramatang lewat (iaitu lebih daripada 35 minggu kehamilan).

Pada keseluruhannya, bayi yang dapat sentuhan kulit ke kulit adalah 32% lebih cenderung menyusu susu ibu dengan jayanya pada kali pertama penyusuan
daripada bayi yang dibedung oleh ibu mereka. Wanita yang berpengalaman dalam sentuhan kulit ke kulit adalah 24% lebih cenderung daripada wanita yang bersentuhan piawai untuk menyusukan bayi dari satu hingga empat bulan selepas dilahirkan. Mereka juga menyusukan bayi mereka 64 hari lebih lama secara puratanya. Bayi yang mendapat sentuhan kulit ke kulit mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi tetapi suhu badan yang sama dengan bayi yang lain, dan hasil fisiologi awal bagi bayi pramatang lewat yang sihat yang mendapat sentuhan kulit ke kulit adalah lebih baik daripada mereka yang tidak mendapatkannya.

Para penulis ulasan kurang pasti tentang keputusan terhadap wanita yang melahirkan bayi secara pembedahan cesarean kerana jumlah wanita sedemikian yang kecil dalam kajian-kajian tetapi bukti juga menyokong sentuhan awal kulit ke kulit dengan lebih ramai wanita berjaya menyusukan susu ibu dan masih menyusu pada satu hingga empat bulan.


Terdapat beberapa peringatan penting dengan penemuan ulasan ini. Sentuhan kulit ke kulit ditakrifkan dengan pelbagai cara dan skala serta masa yang berlainan digunakan untuk mengukur hasil yang sama dalam kajian. Wanita dan kakitangan menyedari bahawa mereka sedang dikaji dan wanita dalam kumpulan penjagaan piawai diberi pelbagai peringkat sokongan bagi penyusuan susu ibu Perbezaan ini membawa kepada variasi yang luas dalam penemuan ulasan dan kualiti bukti yang lebih rendah.

Walau bagaimanapun, secara ringkasnya, ulasan ini menyokong sentuhan kulit ke kulit untuk menggalakkan penyusuan susu ibu. Hal ini penting kerana kita tahu penyusuan susu ibu membantu bayi mengelakkan penyakit dan kekal sihat. Sentuhan kulit ke kulit awal patut menjadi amalan biasa untuk bayi baru lahir yang sihat, termasuklah bayi yang dilahirkan secara pembedahan cesarian dan bayi yang lahir awal pada 35 minggu atau lebih.

Jika anda ingin membaca lebih lanjut mengenai kajian dan hasil untuk ibu-ibu dan bayi-bayi mereka, anda boleh mendapatkan versi penuh ulasan ini di Cochrane Library dot com. Layari laman web dan cari 'sentuhan awal kulit ke kulit' untuk melihatnya di bahagian atas senarai .

Podcast ini Diterjemahkan oleh Nila Pillai dan disunting oleh Tan May Loong
dari Penang Medical College, daripada podcast asal yang bertajuk:
Early skin-to-skin contact for mothers and their healthy newborn infants

Tutup transkrip