Podcast : Ubat kumur mulut berfluorida untuk mencegah karies gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane telah menghasilkan banyak ulasan yang berkaitan dengan pencegahan kerosakan gigi dan, pada bulan Julai 2016, mereka telah mengemaskini penyiasatan terhadap ubat kumur mulut berfluorida untuk kanak-kanak dan remaja. Helen Worthington, selaku Editor Penyelaras dari Universiti Manchester, UK dan salah seorang penulis ulasan ini, memberitahu apa yang beliau temui dalam Pod Bukti ini.
Kerosakan gigi atau karies gigi adalah masalah kesihatan signifikan yang mempengaruhi kebanyakan orang dewasa dan kanak-kanak. Rawatan kerosakan gigi adalah mahal dari segi masa dan wang, dan mencegah karies dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dianggap lebih kos efektif berbanding rawatan karies berikutannya.

- Baca transkrip

Fail Digital Media ini diterjemahkan oleh Dr Bryan John Paulose dari BP Healthcare. Disunting oleh Prof Noorliza Mastura Ismail dari Kolej Perubatan Melaka Manipal.

Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane telah menghasilkan banyak ulasan yang berkaitan dengan pencegahan kerosakan gigi dan, pada bulan Julai 2016, mereka telah mengemaskini penyiasatan terhadap ubat kumur mulut berfluorida untuk kanak-kanak dan remaja. Helen Worthington, selaku Editor Penyelaras dari Universiti Manchester, UK dan salah seorang penulis ulasan ini, memberitahu apa yang beliau temui dalam Pod Bukti ini.
Kerosakan gigi atau karies gigi adalah masalah kesihatan signifikan yang mempengaruhi kebanyakan orang dewasa dan kanak-kanak. Rawatan kerosakan gigi adalah mahal dari segi masa dan wang, dan mencegah karies dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dianggap lebih kos efektif berbanding rawatan karies berikutannya.

Kini, kaedah paling lazim untuk pencegahan karies adalah memberus gigi dengan ubat gigi berfluorida, tetapi fluorida juga boleh diaplikasi terus kepada gigi melalui varnis, gel dan ubat kumur mulut. Penggunaan ubat kumur mulut berfluorida sering diamalkan dalam program berasaskan sekolah untuk mencegah karies, sama ada kumuran berfluorida diselia atau tidak (bergantung kepada umur kanak-kanak), perlu dilakukan secara regular untuk memberi kesan.

Ulasan ini melihat keberkesanan dan keselamatan penggunaan ubat kumur berfluorida untuk mencegah karies dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, berbanding plasebo atau tiada rawatan. Penyelidik mendapati ia boleh mengurangkan karies, tetapi terdapat bukti yang terhad tentang kesan buruk atau kebolehterimaannya.

Penyelidik memasukkan 37 kajian rawak dalam ulasan ini, melibatkan hampir 16,000 kanak- kanak dari umur 6 hingga 14 tahun. Kajian-kajian telah dilakukan di beberapa negara, dan penemuan mereka telah diterbitkan di antara tahun 1965 dan 2005. Semua kajian tersebut menilai penggunaan ubat kumur mulut berfluorida berasaskan sekolah yang diselia, dengan dua kajian penggunaan di rumah. Kebanyakan kanak-kanak menerima ubat kumur mulut dengan larutan natrium fluorida yang diberi dengan sukatan 230 bahagian per juta fluorida setiap hari, atau 900 bahagian per juta setiap minggu.

Penyelidik dapat menggabungkan keputusan 35 kajian, yang menunjukkan pengurangan yang besar dalam penambahan karies gigi kekal untuk jangka masa dua hingga tiga tahun selepas penggunaan regular ubat kumur mulut berfluorida. Penyelidik menilai bukti sebagai berkualiti sederhana, dan walaupun ia hanya menilai penggunaan ubat kumur mulut berselia di persekitaran sekolah, penemuan ini boleh diaplikasi dalam persekitaran lain, sama ada dengan penggunaan berselia atau tidak berselia.

Terdapat juga kemungkinan manfaat mencegah karies dalam kalangan kanak-kanak yang menggunakan ubat gigi berfluorida atau tinggal di kawasan bekalan air berfluorida. Beberapa kajian melaporkan hasil lain yang relevan kepada ulasan ini, termasuklah kesan buruk seperti perubahan warna gigi, kerengsaan mukosa dan keciciran yang mungkin menunjukkan ketidakbolehterimaan rawatan, bermaksud tiada cukup data untuk mempastikan kesan terhadap hasil tersebut.

Ringkasnya, kanak-kanak sekolah yang menggunakan ubat kumur mulut berfluorida secara berselia untuk beberapa minit dan kemudian meludahkan, sama ada menggunakan ubat kumur harian dengan kepekatan rendah, atau kepekatan yang lebih tinggi setiap minggu, mungkin kurang karies selepas sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun. Namun, bukti tentang kemungkinan kesan sampingan yang signifikan adalah terhad, dan maklumat tentang kebolehterimaannya tidak muktamad.

Anda boleh membaca versi penuh ulasan dalam talian di Perpustakaan Cochrane dot com, di mana anda boleh mendapatkannya dengan carian 'Ubat kumur mulut berflorida untuk mencegah karies gigi'.

Tutup transkrip