Podcast : Adakah suntikan vaksin pneumokokal dapat mencegah pneumonia bagi pesakit COPD?

Pneumonia atau radang paru-paru  adalah masalah serius terutamanya bagi orang yang mempunyai penyakit obstruktif pulmonari kronik dan adalah penting untuk mengetahui jika vaksin boleh mencegahnya. Dalam ulasan Cochrane yang dikemaskini pada Januari 2017, Julia Walters dari Kumpulan Saluran Pernafasan Cochrane di Australia dan rakan-rakan sekerja beliau telah mengkaji bukti terkini dan mengemukakan maklumat yang mereka peroleh dalam podcast ini.

- Baca transkrip

Salam sejahtera. Saya Shahrizan Majid graduan perubatan dari Penang Medical College.

Pneumonia atau radang paru-paru adalah masalah serius terutamanya bagi orang yang mempunyai penyakit obstruktif pulmonari kronik dan adalah penting untuk mengetahui jika vaksin boleh mencegahnya. Dalam ulasan Cochrane yang dikemaskini pada Januari 2017, Julia Walters dari Kumpulan Saluran Pernafasan Cochrane di Australia dan rakan-rakan sekerja beliau telah mengkaji bukti terkini dan mengemukakan maklumat yang mereka peroleh dalam podcast ini.

Sekiranya seseorang dengan penyakit obstruktif pulmonari kronik (atau dikenali sebagai COPD), dijangkiti pneumonia, mereka adalah lebih cenderung ke arah maut berbanding orang tanpa COPD. Pesakit COPD juga mempunyai risiko tinggi untuk menghidap pneumonia, sama ada yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae atau pneumonia perolehan komuniti yang lain. Mereka juga lebih cenderung untuk mendapat suar akut atau eksaserbasi. Ulasan ini akan meneliti bukti sama ada suntikan vaksin pneumokokal boleh mencegah pneumonia dan masalah-masalah ini.

Para penyelidik telah mengenal pasti sebanyak 12 kajian layak yang melibatkan hampir 2,200 peserta. Ini merupakan peningkatan dari ulasan bukti terakhir pada 2010, dengan penambahan lima kajian baru yang menyumbangkan 600 peserta. Purata umur peserta adalah 66 tahun; dua pertiga daripada mereka adalah lelaki dan mempunyai diagnosis COPD sederhana ke teruk. 11 kajian membandingkan suntikan vaksin dan kawalan, dan kajian ke-12 membandingkan dua jenis suntikan vaksin yang berbeza.

Para penyelidik mendapati orang yang divaksin adalah kurang berkemungkinan untuk menghidap satu episod pneumonia perolehan komuniti, dimana pemberian vaksin kepada 21 pesakit COPD akan mencegah satu episod pneumonia. Walau bagaimanapun, suntikan vaksin tidak memberi sebarang perubahan kepada risiko untuk menghidap pneumonia pneumokokal kerana bakteria Streptococcus pneumonia secara khususnya, atau kemungkinan untuk maut atau perlu dimasukkan ke hospital kerana masalah pernafasan. Orang yang menerima vaksin juga kurang berkemungkinan untuk mengalami eksaserbasi COPD semasa rawatan susulan antara 6 hingga 24 bulan. Penyelidik turut mendapati tiada perbezaan keberkesanan antara dua jenis suntikan vaksin suntikan tersebut.

Secara ringkasnya, penemuan penyelidikan ini adalah selaras dengan garis panduan pernafasan semasa untuk amalan klinikal berkenaan suntikan vaksin pneumokokal bagi pesakit COPD. Bukti yang diperoleh dalam ulasan ini menunjukkan bahawa semua orang dengan COPD harus diberikan suntikan vaksin sebagai perlindungan terhadap pneumonia perolehan komuniti, dan untuk mengurangkan kebarangkalian mengalami eksaserbasi akut COPD.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih mendalam mengenai bukti ini, ulasan penuh boleh didapati dalam talian. Anda boleh mendapatkannya dalam Perpustakaan Cochrane.com dan mencari 'vaksin pneumonia dan COPD'.
Podcast ini Diterjemahkan oleh Shahrizan Majid dan disunting oleh DrTan May Loong dari Penang Medical College dari podcast yang asal yang bertajuk: "Do injectable pneumococcal vaccines prevent pneumonia in people with COPD?"

Tutup transkrip