Podcast : Sokongan Kepada Ibu-Ibu Yang Menyusukan Anak

Beberapa ulasan dari Kumpulan Kehamilan and Kelahiran Bayi Cochrane telah mengemukakan langkah-langkah untuk membantu ibu menyusukan bayi mereka. Pada Februari 2017, dalam edisi terbaru keluaran kumpulan ini, Alison McFadden dari University of Dundee, Scotland and rakan-rakan penulisnya telah mengemukakan maklumat terkini dan telah mengemaskinikan podcast ini.

- Baca transkrip

Salam sejahtera. Nama saya Shahrizan Majid graduan perubatan dari Penang Medical College
Beberapa ulasan dari Kumpulan Kehamilan and Kelahiran Bayi Cochrane telah mengemukakan langkah-langkah untuk membantu ibu menyusukan bayi mereka. Pada Februari 2017, dalam edisi terbaru keluaran kumpulan ini, Alison McFadden dari University of Dundee, Scotland and rakan-rakan penulisnya telah mengemukakan maklumat terkini dan telah mengemaskinikan podcast ini.

Penyusuan susu ibu memberikan kesan yang penting kepada kesihatan kanak-kanak, dan terdapat bukti kukuh bahawa tidak menyusukan bayi akan meningkatkan kadar kematian dan morbiditi yang berpunca daripada jangkitan kuman. Bayi yang tidak diberikan susu ibu dikaitkan dengan peningkatan kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital terutamanya bagi, jangkitan kuman pada usus seperti cirit birit, masalah saluran pernafasan, jangkitan telinga, serta meningkatkan kadar kencing manis diusia kanak-kanak, obesiti dan masalah pergigian. Selain itu, penyusuan susu ibu amat penting untuk menjamin kesihatan seseorang wanita. Kajian telah menunjukkan bahawa risiko kanser payudara dan ovari, dan juga kencing manis adalah tinggi bagi wanita yang tidak menyusukan bayi mereka.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesyorkan penyusuan susu ibu secara eksklusif dimana bayi hanya diberi susu ibu sahaja dari lahir hingga berumur 6 bulan dan meneruskannya sebagai makanan pelengkap sehingga umur 2 tahun. Walau bagaimanapun, kadar penyusuan susu ibu terkini di kebanyakan negara tidak menggambarkan cadangan ini. Hanya kira-kira satu daripada tiga bayi di bawah umur 6 bulan disusukan secara ekslusif di seluruh dunia, dan di kebanyakan negara berpendapatan tinggi dan sederhana, kadar ini didapati jauh lebih rendah. Antara sebab utama mengapa wanita memerlukan sokongan bagi membantu mereka mengamalkan penyusuan susu ibu termasuklah pemasaran pro-aktif produk pengganti susu ibu yang membawa kepada penerimaan meluas oleh masyarakat awam dan profesional bahawa produk pengganti susu ibu dan penyusuan susu ibu adalah hampir setara, kekurangan penerimaan penyusuan susu ibu di tempat kerja atau di tempat-tempat awam dan hakikatnya ramai profesional kesihatan tidak mempunyai kemahiran untuk mengajar dan menyokong wanita menyusukan bayi mereka.
Ulasan para penyelidik bertujuan untuk mencari langkah-langkah untuk menggalakkan pemberian sokongan kepada wanita yang sedang penyusu. Mereka menyiasat kesan intervensi yang diambil untuk memberi sokongan tambahan kepada ibu-ibu yang menyusukan anak, menganalisa jumlah wanita yang berhenti menyusukan anak dengan susu ibu atau yang menghentikan penyusuan susu ibu secara eksklusif sebelum empat hingga enam minggu, dan sebelum enam bulan.
Kemaskini terakhir para penyelidik mengandungi lebih daripada 100 kajian yang melibatkan lebih daripada 83,000 pasangan ibu dan bayi. Kajian-kajian ini telah dijalankan di 29 buah negara termasuklah negara yang berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi. Intervensi yang diuji adalah berbeza-beza, seperti menawarkan sokongan kepada wanita sama ada secara individu atau berkumpulan, bersemuka atau melalui telefon. Sokongan ini disediakan oleh profesional kesihatan, penyokong rakan sebaya atau kedua-duanya, di mana sesetengah daripada mereka telah menerima latihan khas. Keamatan sokongan yang diberi juga berbeza iaitu dari kurang dari 3 kepada lebih dari 9 orang hubungan.
Para penyelidik mendapati bahawa apabila sokongan penyusuan susu ibu ditawarkan kepada wanita, jangka masa dan keeksklusifan penyusuan susu ibu telah meningkat, dengan kesan yang lebih besar terhadap pemanjangan penyusuan susu ibu secara eksklusif berbanding pengurangan pemberhentian penyusuan susu ibu. Kualiti bukti keseluruhan dinilai sebagai sederhana kerana terdapat pelbagai variasi dalam jenis intervensi yang diperkenalkan, persekitaran kajian dan alternatif yang dibandingkan dengan intervensi sokongan.
Para penyelidik juga memperoleh bukti berkualiti sederhana bahawa sokongan yang diberi mungkin akan lebih berkesan jika ia ditawarkan sebagai standard oleh kakitangan yang terlatih dan melibatkan penyediaan lawatan berjadual yang berterusan supaya para wanita boleh menjangka bila sokongan ini akan diadakan. Akhirnya, didapati besar kemungkinan strategi yang memberikan sokongan secara bersemuka adalah lebih cenderung untuk berjaya dengan wanita mengamalkan penyusuan ibu secara eksklusif. Secara ringkasnya, implikasi yang praktikal daripada ulasan ini adalah bahawa semua wanita perlu ditawarkan sokongan penyusuan susu ibu yang terlatih secara rutin dan sokongan ini haruslah mudah diperolehi.
Sekiranya anda ingin melihat dengan lebih mendalam tentang pangkalan bukti yang besar ini, untuk mengetahui strategi yang berbeza dengan lebih terperinci; anda boleh menemui banyak maklumat yang berguna dalam ulasan Cochrane. Ia boleh didapati dengan penuh dalam talian. Anda hanya perlu pergi ke Cochrane Library.com dan mencari 'Sokongan untuk ibu-ibu menyusukan anak'.

Podcast ini Diterjemahkan oleh Shahrizan Majid dan disunting oleh Tan May Loong dari Penang Medical College dari podcast yang asal yang bertajuk: "Support for breastfeeding mothers"

Tutup transkrip