Ivermectin dan permethrin untuk merawat kudis

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai keberkesanan dan keselamatan permethrin topikal dan ivermectin topikal atau sistemik untuk kudis dalam semua peringkat umur. Kami mencari semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mendapati terdapat 15 kajian, yang kami kumpulkan dan menganalisa.

Mesej-mesej utama

Kami mendapati bahawa untuk sebahagian besar, tiada perbezaan yang dikesan dalam keberkesanan permethrin berbanding dengan ivermectin sistemik atau topikal. Secara keseluruhannya, terdapat beberapa kesan buruk dan yang ringan dilaporkan. Keyakinan kami terhadap kesan anggaran dalam kebanyakannya adalah rendah hingga sederhana. Laporan kajian yang kurang baik adalah batasan utama.

Kepastian kajian tambahan diperlukan untuk mengukuhkan keyakinan terhadap hasil dan memperbaiki asas bukti.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kudis adalah jangkitan parasit yang sangat gatal pada kulit. Ia berlaku di seluruh dunia, terutamanya bermasalah dalam tempat di mana tahap kebersihan adalah buruk, kesesakan, dan gangguan sosial. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permethrin dan ivermectin telah menjadi pilihan rawatan yang paling berkaitan untuk kudis.

Kami memeriksa permethrin topikal, ivermectin topikal, dan ivermectin sistemik sebagai rawatan untuk kudis pada wanita dan lelaki dari semua peringkat umur. Kami menilai keberkesanan sebagai pembersihan lengkap pada luka kulit pada masa yang berlainan selepas permulaan rawatan. Hasil lain adalah jumlah peserta yang dirawat semula, jumlah peserta dengan sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk, dan jumlah peserta yang berhenti mengambil bahagian dalam kajian kerana mereka mengalami peristiwa buruk.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati terdapat 15 kajian yang berkaitan. Hampir semua kajian dijalankan di Asia Selatan atau Afrika Utara. Kajian ini membandingkan ivermectin sistematik dengan permethrin topikal, ivermectin topikal dengan permethrin topikal, atau ivermectin sistemik dengan ivermectin topikal untuk merawat orang dengan kudis. Semua kajian dijalankan di pusat tunggal dengan kebanyakan peserta kecil dalam setiap kumpulan kajian.

Ivermectin oral boleh menyebabkan kadar pembersihan lengkap sedikit selepas satu minggu berbanding dengan krim permethrin (kepastian bukti yang rendah), tetapi sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pembersihan lengkap oleh minggu kedua (kepastian bukti yang rendah). Rawatan dengan satu hingga tiga dos ivermectin atau satu hingga tiga aplikasi permethrin boleh membawa kepada perbezaan sedikit atau tiada kadar pembersihan lengkap selepas empat minggu (kepastian bukti yang rendah).

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pembersihan lengkap selepas seminggu rawatan dengan ivermectin oral atau satu aplikasi losyen permethrin (kepastian bukti sederhana).

Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pembersihan lengkap antara ivermectin sistemik pada dos piawaian dan losyen ivermectin topikal empat minggu selepas permulaan rawatan (kepastian bukti sederhana). Begitu juga, selepas empat minggu, losyen ivermectin mungkin membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar pembersihan lengkap jika dibandingkan dengan krim permethrin (kepastian bukti sederhana), dan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan dengan ivermectin sistemik dalam dos yang berbeza (kepastian bukti tinggi).

Tiada peserta dalam ivermectin sistemik atau kumpulan permethrin berhenti mengambil bahagian dalam kajian kerana mereka mengalami peristiwa buruk (kepastian bukti sederhana). Dua minggu selepas permulaan rawatan, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bahagian peserta yang dirawat dengan sistematik ivermectin atau krim permethrin yang mengalami sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk (kepastian bukti sederhana). Selepas empat minggu, ivermectin boleh menyebabkan sebahagian besar peserta mengalami sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk (kepastian bukti rendah).

Peristiwa buruk dalam peserta yang dirawat dengan ivermectin topikal adalah jarang dan mempunyai intensiti ringan dan setanding dengan mereka yang mempunyai ivermectin sistemik. Untuk perbandingan ini, tidak dapat dipastikan sama ada terdapat perbezaan bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk (kepastian bukti yang sangat rendah). Tiada peserta dalam kumpulan ivermectin topikal atau sistematik berhenti mengambil bahagian dalam kajian kerana mereka mengalami peristiwa buruk (kepastian bukti sederhana).

Adalah tidak pasti sama ada ivermectin dan permethrin topikal berbeza dalam bilangan peserta dengan sekurang-kurangnya satu peristiwa buruk (kepastian bukti yang sangat rendah). Kami mendapati tiada kajian yang membandingkan satu dos dengan dua dos ivermectin sistemik yang menilai hasil keselamatan.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 25 April 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information