Parasetamol untuk sakit kronik bukan kanser dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Kesimpulannya

Tiada bukti dari kajian rawak terkawal untuk menyokong atau menafikan cadangan bahawa parasetamol (acetaminophen) dalam sebarang dos akan memberi kelegaan sakit untuk sakit kronik bukan kanser dalam kalangan kanak-kanak atau remaja.

Latar belakang

Kanak-kanak boleh mengalami sakit kronik atau berulang yang berkaitan keadaan genetik, sakit kerosakan saraf, sakit muskuloskeletal kronik dan sakit perut kronik, serta sebarang sebab yang tidak diketahui. Sakit kronik ialah sakit yang berlangsung selama tiga bulan atau lebih dan lazm disertai oleh perubahan gaya hidup, kebolehan berfungsi, serta tanda dan gejala kemurungan dan keresahan.

Parasetamol (acetaminophen) adalah salah satu ubat tahan sakit yang paling banyak digunakan dalam kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak. Umumnya dos yang disyorkan di UK, Eropah, Australia, dan AS untuk kanak-kanak dan remaja adalah 10 hingga 15 mg/kg setiap jam empat hingga enam, dengan julat umur tertentu dari 60 mg (berumur 6 hingga 12 bulan) sehingga 500 hingga 1000 mg (berumur lebih 12 tahun). Parasetamol adalah satu-satunya ubat tahan sakit yang disyorkan untuk kanak-kanak di bawah usia 3 bulan. Parasetamol telah terbukti selamat dalam dos yang sesuai dan terkawal, namun potensi kesan sampingan parasetamol jika terlebih dos atau terlebih guna dalam kalangan kanak-kanak termasuklah kegagalan hati dan buah pinggang.

Keputusan utama

Pada September 2016 kami mencari kajian klinikal di mana parasetamol digunakan untuk merawat sakit kronik (berpotensi dari sakit saraf, masalah muskuloskeletal, kejang haid, atau ketidakselesaan abdomen).

Kami tidak mendapati kajian yang memenuhi keperluan ulasan ini. Beberapa kajian menguji parasetamol dalam kalangan dewasa dengan sakit kronik, tetapi tiada yang melibatkan peserta dari lahir hingga 17 tahun.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti daripada kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud kami tidak pasti mengenai keputusan. Bukti yang berkualiti tinggi bermaksud kami sangat yakin terhadap keputusan.

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah, kerana tiada bukti daripada kajian rawak terkawal untuk menyokong atau menafikan cadangan bahawa parasetamol dalam sebarang dos akan mengurangkan sakit kronik bukan kanser dalam kalangan kanak-kanak atau remaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan