Ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) untuk sakit kronik bukan kanser dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Kesimpulan

Kami tidak pasti sama ada NSAID boleh memberi kelegaan sakit untuk sakit kronik bukan kanser dalam kalangan kanak-kanak atau remaja.

Latar belakang

Kanak-kanak boleh mengalami sakit kronik atau berulang yang berkaitan dengan keadaan genetik, kerosakan saraf, sakit otot atau tulang, sakit perut, atau dari punca yang tidak diketahui. Sakit kronik adalah sakit yang berlarutan tiga bulan atau lebih lama dan biasanya disertai dengan perubahan dalam gaya hidup dan kebolehan berfungsi serta mendapat sokongan daripada tanda dan gejala kemurungan dan kebimbangan.

Ubat anti-radang bukan steroid diguna untuk merawat sakit atau mengurangkan demam, dan lazim diguna dalam kalangan kanak-kanak. Ini termasuklah ubat-ubatan yang boleh didapati di kaunter seperti ibuprofen, aspirin, naproxen, serta ubat preskripsi sahaja. NSAID kini dilesenkan untuk kegunaan di negara Barat, tetapi tidak diluluskan untuk bayi yang berusia di bawah tiga bulan. Kesan-kesan sampingan utama NSAID adalah masalah perut dan kegagalan buah pinggang. Kesan sampingan yang biasa dalam kanak-kanak termasuk cirit-birit, sakit kepala, loya, sembelit, ruam, pening, kembung, sakit perut, atau senak.

Ciri-ciri Kajian

Pada September 2016 kami telah mencari kajian klinikal di mana NSAID digunakan untuk merawat sakit kronik. Kami mendapati tujuh kajian (dengan sejumlah 1074 peserta, berumur 2 hingga 18 tahun) dengan poliartritis juvana kronik atau artritis rheumatoid juvana kronik yang melebihi 3 bulan.

Keputusan-keputusan utama

Kajian ini melihat perbandingan berbeza tentang aspirin, celecoxib, fenoprofen, ibuprofen, indomethacin, ketoprofen, meloxicam, naproxen, dan rofecoxib. Tiada kajian berbanding NSAID dengan plasebo. Kita tidak boleh membandingkan ubat-ubatan, atau keputusan kesakitan, kerana kajian menyiasat jenis NSAID yang berbeza.

Kesan-kesan sampingan adalah lazim, dengan kanak-kanak melaporkan masalah dengan aspirin (85 daripada 202 peserta), fenoprofen (28 daripada 49), ibuprofen (40 daripada 45), indomethacin (9 daripada 30), ketoprofen (9 daripada 30), meloxicam (18 daripada 47), naproxen (44 daripada 202) dan rofecoxib (47 daripada 209).

Kualiti bukti kajian

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusannya.

Secara keseluruhan, bukti yang ada adalah berkualiti rendah atau sangat rendah kerana kekurangan data dan beberapa masalah dengan pengendalian beberapa kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information