Antidepresan untuk sakit kronik bukan kanser dalam kanak-kanak dan remaja

Kesimpulannya

Penyelidik tidak pasti sama ada antidepresan boleh memberikan kelegaan kesakitan untuk kesakitan berkaitan dengan penyakit bukan kanser dalam kanak-kanak dan remaja. Penyelidik tidak mempunyai bukti untuk mencadangkan bahawa satu jenis antidepresan adalah lebih berkesan daripada yang lain.

Latar belakang

Kanak-kanak boleh mengalami sakit kronik atau sakit berulang yang berkaitan keadaan genetik, kerosakan saraf, sakit otot atau tulang, sakit perut, serta dari punca yang tidak diketahui. Sakit kronik adalah sakit yang berlangsung tiga bulan atau lebih lama dan biasanya disertai dengan perubahan dalam gaya hidup dan kebolehan berfungsi serta mendapat sokongan daripada tanda dan gejala kemurungan dan kebimbangan.

Antidepresan telah digunakan untuk melegakan kesakitan dan pengurusan sakit sejak tahun 1970-an dan dianggap oleh pakar klinikal sebagai berguna untuk gejala saraf, haid, otot, sendi, dan sakit perut. Contoh antidepresan yang telah digunakan untuk merawat sakit neuropathic termasuk amitriptyline, milnacipran, dan citalopram.

Ciri-ciri kajian

Pada September 2016 penyelidik mencari kajian klinikal di mana antidepresan telah digunakan untuk merawat saraf kronik, haid, otot, sendi, atau sakit perut. Penyelidik mendapati terdapat empat kajian dengan jumlah 272 peserta (berusia 6 hingga 18 tahun) yang mempunyai sakit saraf, keradangan kesakitan am, sakit perut atau sindrom rengsa usus, lebih daripada 3 bulan.

Keputusan utama

Tiada kajian melaporkan kelegaan kesakitan 30% atau lebih, atau 50% atau lebih. Kesan sampingan adalah tidak kerap, dan hanya berlaku sebagai tindak-balas yang ringan seperti loya, pening, mengantuk, keletihan dan ketidakselesaan abdomen (4 disebabkan oleh amitriptyline, 5 disebabkan oleh citalopram, 1 disebabkan oleh gabapentin dan 1 disebabkan oleh plasebo). 11 peserta tersebut menarik diri daripada kajian ini disebabkan oleh kesan sampingan yang ringan ini. Tiada kesan sampingan yang serius ditemui.

Kualiti bukti

Penyelidik telah membuat penilaian kualiti bukti daripada kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermaksud bahawa penyelidik tidak pasti mengenai keputusan dalam kajian tersebut. Bukti yang berkualiti tinggi bermaksud bahawa penyelidik sangat yakin terhadap keputusan kajian tersebut.

Kualiti bukti dalam ulasan ini adalah sangat rendah disebabkan oleh kekurangan data dan kajian saiz kecil. Hasilnya, penyelidik mendapati tidak ada bukti untuk menyokong atau menafikan penggunaan antidepresan untuk merawat kesakitan kronik bukan kanser dalam kanak-kanak dan remaja.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan