Ubat anti-radang bukan steroid untuk sakit pinggang kronik

Soalan ulasan

Kami menilai bukti mengenai kesan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) dalam kalangan mereka yang mengalami sakit pinggang kronik. NSAID dibandingkan dengan plasebo, NSAIDs lain, ubat-ubatan lain atau rawatan lain.

Latar belakang

Sakit pinggang kronik sentiasa berlaku dan menyebabkan kesakitan dan ketidakupayaan. NSAID sering digunakan untuk merawat mereka yang mengalami sakit pinggang kronik dan boleh didapati di kaunter dan preskripsi dalam pelbagai jenis dan entiti kimia.

Ciri-ciri kajian

Kami mengumpul semua ujian rawak terkawal yang diterbitkan bagi menilai keberkesanan NSAID sehingga 24 Jun 2015. Kami memasukkan 13 ujian yang membandingkan NSAID dengan plasebo, NSAIDs lain, ubat-ubatan lain atau rawatan lain kepada mereka yang mengalami sakit pinggang kronik. Enam ujian membandingkan NSAID dengan plasebo, dan melibatkan 1354 jumlah peserta. Susulan adalah di antara sembilan hari dan 16 minggu.

Keputusan utama

NSAID telah mengurangkan kesakitan dan ketidakupayaan mereka yang mengalami sakit pinggang kronik berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, perbezaannya adalah kecil: 7 mata pada skala 100 mata untuk keamatan rasa sakit. Berkaitan ketidakupayaan, orang yang menerima NSAID mendapat 0.9 mata lebih baik dalam skala ketidakupayaan 0 hingga 24. Bilangan kejadian buruk tidak menunjukkan perbezaan yang ketara antara mereka yang menerima NSAID dan mereka yang menerima plasebo, tetapi kajian yang lebih besar dalam jangka masa yang lebih panjang diperlukan untuk mengenal pasti kejadian buruk yang jarang berlaku atau berlaku lewat, interaksi ubat dan kejadian-kejadian buruk yang berlaku dengan penggunaan yang berpanjangan.

Pelbagai jenis NSAID tidak menunjukkan kesan yang sangat berbeza. Tiga daripada 13 kajian yang membandingkan dua jenis NSAID tidak mendapati apa-apa perbezaan.

NSAID dibandingkan juga dengan ubat jenis yang lain: paracetamol, tramadol dan pregabalin. Tidak dapat perbezaan di antara NSAID dan parasetamol dan pregabalin sama ada dari segi kesan atau kejadian buruk. Satu kajian membandingkan celecoxib dengan tramadol menunjukkan peningkatan global yang lebih baik dengan mereka yang menggunakan celecoxib.

Satu kajian membandingkan NSAID dengan 'senaman di rumah'. Berkaitan tidakkeupayaan, mereka yang melakukan senaman bertambah baik daripada mereka yang menerima NSAID, tetapi statistik skor sakit tidak berbeza.

Kualiti bukti

Terdapat bukti berkualiti rendah bahawa NSAID berkesan lebih sedikit daripada placebo dalam sakit pinggang kronik. Magnitud perbezaan adalah kecil, dan apabila kajian berkualiti tinggi sahaja yang diambil kira, perbezaan ini berkurangan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information