Alat pendengaran untuk kehilangan pendengaran ringan hingga sederhana untuk orang dewasa

Soalan ulasan

Penyelidik mengulas bukti tentang kesan alat bantu pendengaran pada kehidupan seharian terhadap orang dewasa dengan gangguan pendengaran ringan hingga sederhana. Penyelidik berminat dengan (1) keupayaan seseorang untuk mengambil bahagian dalam situasi harian, (2) kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan umum, (3) keupayaan untuk mendengar orang lain, dan (4) bahaya, seperti kesakitan atau pendedahan kepada bunyi bising.

Latar belakang

Kehilangan pendengaran adalah sangat biasa dan orang dewasa dengan kehilangan pendengaran boleh ditawarkan bantuan pendengaran. Peranti ini meningkatkan kenyaringan, dan boleh meningkatkan kejelasan bunyi supaya mereka lebih mudah untuk mendengar. Matlamat utama alat bantuan pendengaran adalah untuk mengurangkan kesan kehilangan pendengaran dan meningkatkan keupayaan seseorang untuk mengambil bahagian dalam kehidupan seharian. Walaupun alat bantu pendengaran adalah teknologi yang paling biasa bagi orang dewasa dengan kehilangan pendengaran dan digunakan secara meluas, adalah tidak jelas betapa bermanfaatnya mereka.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga 23 Mac 2017. Penyelidik mendapati terdapat lima kajian klinikal melibatkan 825 orang dewasa dengan kehilangan pendengaran ringan hingga sederhana yang secara rawak diberikan sama ada alat bantu pendengaran, tanpa alat bantu pendengaran atau alat pendengaran plasebo. Kajian melibatkan orang dewasa yang lebih tua dengan usia purata dalam kajian antara 69 dan 83 tahun. Tempoh pengajian adalah antara enam minggu dan enam bulan.

Keputusan utama

Penyelidik mendapati ada bukti dalam tiga kajian bahawa alat bantu pendengaran mempunyai kesan yang besar dalam meningkatkan keupayaan orang dewasa dengan kehilangan pendengaran yang ringan hingga sederhana untuk mengambil bahagian dalam situasi seharian. Alat bantuan pendengaran mempunyai kesan yang baik dalam memperbaiki kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan umum, seperti kesejahteraan fizikal, sosial, emosi dan mental, dan mempunyai kesan besar dalam meningkatkan keupayaan untuk mendengar orang lain.

Hanya satu kajian yang cuba mengukur kemudaratan akibat bantuan pendengaran. Tiada yang melaporkannya.

Kualiti bukti

Penyelidik menghakimi bukti bahawa alat bantu pendengaran meningkatkan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam situasi seharian, meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan umum dan meningkatkan keupayaan mendengar sebagai kualiti sederhana. Ini bermakna bahawa walaupun penyelidik yakin bahawa faedah alat bantu pendengaran yang dilaporkan adalah benar, ada kemungkinan jika kajian lanjut dilakukan saiz manfaatnya mungkin berbeza. Penyelidik menilai kualiti bukti untuk bahaya menjadi sangat rendah, kerana ini hanya diukur dalam satu kajian kecil.

Kesimpulan

Penyelidik mendapati alat bantu pendengaran meningkatkan keupayaan orang dewasa dengan kehilangan pendengaran ringan hingga sederhana untuk mengambil bahagian dalam kehidupan seharian, kualiti kehidupan umum mereka dan keupayaan mereka untuk mendengar orang lain. Jika orang dewasa dengan kehilangan pendengaran ringan hingga sederhana memerlukan bantuan untuk masalah pendengaran mereka, alat bantu pendengaran adalah pilihan klinikal yang berkesan. Adalah penting bahawa kajian masa depan mengukur faedah secara konsisten dan melaporkan faedah secara berasingan untuk kumpulan umur yang berbeza, jantina, tahap pendengaran dan jenis alat bantu pendengaran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save