Rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS) untuk kesakitan neuropatik

Kesimpulannya

Bagi orang dewasa dengan kesakitan neuropatik, adalah mustahil untuk menyatakan dengan yakin sama ada TENS berkesan dalam melegakan sakit jika dibandingkan dengan TENS palsu.

Latar belakang

Kesakitan neuropatik adalah kesakitan akibat kecederaan atau penyakit pada saraf dan sukar untuk dirawat dengan berkesan. Ia mungkin berlaku akibat kecederaan saraf langsung atau berkembang akibat masalah seperti kencing manis, kayap dan sindrom terowong karpus. TENS adalah rawatan lazim untuk pelbagai keadaan sakit. Ia melibatkan penggunaan unit yang dikendali oleh bateri kecil untuk mengalir arus elektrik paras rendah melalui elektrod yang dilekatkan pada kulit. Ini dicadangkan untuk melegakan kesakitan.

Soalan ulasan

Adakah TENS menambahbaik intensiti kesakitan dan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dalam kalangan orang dewasa dengan kesakitan neuropatik?

Ciri-ciri kajian

Kami mengulas semua kajian klinikal yang layak yang membandingkan TENS kepada TENS 'palsu' (dikenali sebagai 'sham'), penjagaan biasa atau tanpa rawatan, atau membandingkan TENS dan penjagaan biasa berbanding dengan penjagaan biasa sahaja, untuk kesakitan neuropatik dalam kalangan orang dewasa. Sehingga September 2016, kami mendapati 15 kajian yang layak untuk dimasukkan. Dari 15 kajian ini, kami dapat menggabungkan hasil daripada lima kajian untuk mengkaji kesan TENS berbanding dengan TENS palsu untuk rawatan sakit. Kajian melibatkan pelbagai masalah kesakitan neuropatik (seperti orang yang mengalami kecederaan korda spina, sakit belakang dengan penglibatan saraf, komplikasi yang berkait dengan diabetes, dan sebagainya). Kami mendapati kualiti kajian secara keseluruhan adalah rendah.

Penemuan utama

Kami tidak dapat menyatakan dengan yakin sama ada TENS berkesan melegakan kesakitan berbanding TENS palsu dalam kalangan orang dengan kesakitan neuropatik. Ini disebabkan oleh kualiti bukti yang sangat rendah, yang bermaksud kami mempunyai keyakinan yang sangat terhad dalam hasil ini dan kajian masa depan mungkin mengubah keputusan ini. Kekurangan data yang dilaporkan bermaksud kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang kesan rawatan TENS terhadap kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan, penggunaan ubat untuk melegakan sakit atau tanggapan orang bagaimana TENS mengubah keadaan mereka.

Kami menjelaskan keputusan 10 kajian lanjutan yang membandingkan TENS dengan jenis rawatan lain. 10 kajian ini adalah agak berbeza dan kami tidak dapat menggabungkan dan menganalisisnya bersama-sama. Kekurangan data yang dilaporkan dan kualiti yang sangat rendah dalam 10 kajian tersebut, bermaksud kami tidak dapat menilai kelegaan sakit, kualiti kehidupan yang berkait dengan kesihatan, penggunaan ubat untuk sakit atau tanggapan perubahan.

Dalam tiga daripada 15 kajian, sesetengah orang yang menggunakan TENS mengalami perengsaan kulit di bawah pad elektrod. Tiga kajian melaporkan tiada masalah dan kajian yang berbaki tidak memberi sebarang maklumat tentang kesan sampingan. Berdasarkan ini, adalah tidak realistik untuk komen tentang kesan sampingan yang berkait dengan penggunaan TENS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information