Bolehkah bersenam sebelum vaksinasi mengurangkan bilangan orang dewasa yang mendapat selesema atau mengalami komplikasi?

Soalan ulasan
Kami mengkaji sama ada bersenam sebelum vaksinasi influenza (selesema) boleh mengurangkan bilangan orang dewasa yang menghidapi selesema dan mengurangkan komplikasi.

Latar belakang

Senaman boleh mengubah tindak balas imun. Selesema adalah virus yang berjangkit dan dianggarkan boleh menjejaskan tiga hingga lima juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Vaksinasi selesema bermusim, yang bertindak terhadap sistem imun untuk melindungi daripada jangkitan, adalah perkara biasa di banyak negara.

Tarikh carian

Kami mencari literatur sehingga November 2015.

Ciri-ciri kajian
Kami menilai enam kajian yang melibatkan 599 orang yang berumur antara 18 dan 80 tahun yang menilai senaman sebelum vaksinasi influenza. Senaman termasuk berjalan kaki atau menggunakan sebuah treadmill (daya ketahanan) dan lengkung biseps dan angkat tepi (rintangan) yang dalam lingkungan 25 hingga 50 minit setiap sesi. Peserta dalam lima kajian melaksanakan satu sesi senaman pada hari vaksinasi; manakala dalam satu kajian senaman dilaksanakan lapan minggu sebelum vaksinasi. Senaman diselia dalam tiga kajian. Peserta-peserta yang tidak bersenam (kumpulan kawalan) telah dinilai selepas satu tempoh rehat yang tenang.

Sumber pembiayaan kajian

Tiga kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan kajian; satu kajian mendapat sokongan daripada sebuah syarikat ubat-ubatan yang mendermakan vaksin selesema, satu kajian daripada sebuah persatuan profesional, dan satu lagi daripada agensi-agensi kerajaan.

Hasil utama
Kami mendapati tiada perbezaan dalam bilangan peserta yang menghidapi selesema atau mengalami komplikasi antara peserta yang telah bersenam dan peserta yang tidak bersenam sebelum vaksinasi influenza. Hanya satu kajian melaporkan berapa ramai peserta yang menghidapi selesema selepas senaman dan vaksinasi. Tiada kajian yang melaporkan komplikasi yang berkaitan dengan selesema; hanya satu yang melaporkan peristiwa buruk. Tiada yang melaporkan bilangan hari bekerja atau lain-lain yang hilang akibat selsema. Tiada perbezaan yang bermanfaat dilaporkan antara kumpulan senaman dan kumpulan tiada senaman sebelum vaksinasi.

Bilangan peserta yang kecil yang terlibat dalam kajian-kajian ini, had-had dalam reka bentuk kajian, dan jenis-jenis senaman yang berbeza mengakibatkan kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh mengenai manfaat senaman sebelum vaksinasi. Hasilnya tiada faedah atau bahaya daripada bersenam sebelum menerima vaksin influenza.

Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sangat rendah atau rendah. Reka-bentuk kajian yang lebih teguh yang melibatkan bilangan peserta yang mencukupi bagi membolehkan penilaian dan analisis hasil kajian boleh membantu untuk menentukan jika bersenam sebelum vaksinasi boleh mengurangkan bilangan orang-orang yang menghidapi selesema atau apa-apa komplikasi.

Rumusan pengarang

Kami mendapati bahawa bersenam sebelum vaksinasi influenza tidak bermanfaat ataupun berbahaya. Bilangan peserta yang kecil dalam setiap kajian yang terlibat, pelbagai jenis senaman, dan fokus pada pemeriksaan darah dan bukannya pada peserta sendiri telah banyak mempengaruhi penemuan kami..

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save