Dalam COPD yang stabil, perlukah menggunakan kortikosteroid disedut dengan gabungan sedutan agonis beta 2 bertindak panjang/antagonis muscarinic bertindak panjang ?

Mesej utama

• Kami yakin bahawa kualiti hidup bertambahbaik dengan terapi tiga kali ganda (kortikosteroid disedut (ICS) ditambah agonis beta2 bertindak panjang (LABA) serta antagonis muscarinic bertindak panjang (LAMA)) berbanding dengan gabungan penyedut bronkodilator (LABA ditambah LAMA).

• Kami cukup yakin bahawa berbanding dengan gabungan penyedut bronkodilator, terapi tiga kali ganda menyebabkan pengurangan gejala dan peningkatan risiko radang paru-paru.

• Kami mempunyai sedikit keyakinan bahawa terapi tiga kali ganda mengurangkan kadar serangan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) dan risiko kematian atau menambahbaik fungsi paru-paru apabila dibandingkan dengan gabungan penyedut bronkodilator.

Mengapa soalan ini penting?

COPD adalah penyakit paru-paru jangka panjang biasa yang merangkumi bronkitis kronik dan emfisema. Ia sering dikaitkan dengan merokok. Penghidap COPD mengalami gejala berterusan termasuklah sesak nafas, batuk, dan pengeluaran kahak, dan mungkin mengalami serangan COPD di mana gejala mereka menjadi lebih teruk.

COPD boleh dirawat dengan penyedut. Penyedut boleh mengandungi satu, dua, atau tiga ubat yang berbeza. Ubat-ubatan ini termasuklah bronkodilator bertindak panjang (LABA dan LAMA), yang membuka (mengembangkan) saluran udara; dan ICS, yang mengurangkan keradangan di saluran pernafasan. Dalam sesetengah orang yang mempunyai gejala berterusan atau kerap mengalami serangan, ketiga-tiga ubat boleh diambil.

LABA dan LAMA boleh diambil bersama dalam satu penyedut. Ini dipanggil 'penyedut gabungan'. Penyedut gabungan telah didapati meningkatkan kepatuhan kepada rawatan dan hasil pesakit. LABA dan LAMA dan ICS juga boleh diambil bersama, yang dikenali sebagai 'terapi tiga kali ganda'.

Kami ingin mengetahui sama ada terapi tiga kali ganda lebih baik daripada terapi gabungan pada penghidap COPD yang stabil. Secara khusus, kami ingin mengetahui sama ada terapi tiga kali ganda menambahbaik hasil pesakit dan kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Bagaimana kami menjawab soalan ini?

Kami mencari semua kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan rawatan dengan terapi tiga kali ganda atau rawatan penyedut gabungan pada penghidap COPD yang stabil.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui empat kajian memasukkan sejumlah 15,412 penghidap COPD. Kajian membandingkan tiga terapi penyedut ICS/LABA/LAMA kepada penyedut gabungan LABA/LAMA. Kebanyakan orang dalam kajian berusia pertengahan enam puluhan, mempunyai gejala COPD yang teruk atau sangat teruk, dan mempunyai sekurang-kurangnya satu serangan COPD baru-baru ini; terdapat lebih ramai lelaki daripada wanita dalam kajian yang dimasukkan.

Kami yakin kualiti hidup bertambahbaik dengan terapi tiga kali ganda berbanding penyedut gabungan. Kami cukup yakin bahawa gejala dikurangkan dengan terapi tiga kali ganda, dan orang yang dirawat dengan terapi tiga kali ganda mempunyai peningkatan risiko radang paru-paru berbanding mereka yang dirawat dengan penyedut gabungan. Kami mempunyai sedikit keyakinan dalam penemuan bahawa terapi tiga kali ganda boleh menurunkan kadar serangan COPD berbanding dengan penyedut gabungan; bahawa mungkin terdapat risiko kematian yang lebih rendah dengan terapi tiga kali ganda berbanding dengan penyedut gabungan; atau terapi tiga kali ganda boleh mengurangkan kejadian buruk atau memperbaiki fungsi paru-paru.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan, terutamanya melibatkan penghidap COPD yang kurang teruk dan mereka yang tidak mengalami COPD baru-baru ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 30 November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information