Adakah kunyahan gula-gula getah selepas pembedahan caesarean membantu pemulihan fungsi usus dengan lebih cepat?

Apakah isunya?

Ramai wanita bersalin melalui pembedahan caesarean (CS) pada masa kini. Peratusan wanita yang bersalin melalui CS adalah antara 15% ke lebih daripada 50% dalam sesetengah negara. Selepas CS, adalah kebiasaan bagi usus untuk berhenti fungsi selama beberapa jam atau beberapa hari. Walaupun pada kebiasaannya masalah ini akan hilang dengan sendiri dalam masa beberapa hari, namun ia boleh menyebabkan ketidakselesaan. Gas dan najis yang tertinggal boleh menyebabkan perut ibu menjadi kembung dan kejang. Hal ini menyebabkan ibu berasa loya dan muntah menyebabkan dia tidak dapat makan seperti biasa Ibu berkemungkinan memerlukan ubatan tambahan untuk mengurangkan gejala-gejala tersebut dan mungkin boleh menyebabkan tarikh keluar hospital tertangguh. Penggunaan ubat-ubatan untuk melegakan kesakitan semasa proses bersalin dan selepas pembedahan juga boleh melambatkan fungsi usus.

Walaupun memulakan pemakanan awal selepas CS boleh merangsang usus, ia juga boleh menyebabkan muntah. Sebab itulah ramai pakar Obstetrik masih menahan pemakanan sehingga bunyi usus dikesan dan kentut berlaku. Gula-gula getah boleh mempercepatkan fungsi usus untuk kembali lebih awal, seperti dalam pembedahan yang lain. Kami ingin melihat sama ada ia juga berkesan selepas CS. Penggunaan gula-gula getah dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan adalah satu cara yang mudah dan murah.

Apakah bukti yang kami jumpai?

Kami telah memasukkan kajian terkawal rambang yang diterbitkan sehingga Jun 2016.

Kami telah menjumpai 17 kajian yang melibatkan 3149 wanita yang baru sahaja bersalin melalui CS. Dalam kajian tersebut, wanita kumpulan pertama mengunyah gula-gula getah manakala kumpulan kedua tidak; kedua-duanya menerima rawatan biasa. Kajian telah dijalankan dalam sembilan buah negara (kebanyakannya berpendapatan rendah dan sederhana) dan adalah berbeza dari pelbagai aspek. Sebagai contohnya, beberapa kajian hanya melibatkan wanita yang melahirkan anak pertama dan yang lain melibatkan wanita yang pernah melalui CS sebelum itu; sesetengah kajian melibatkan hanya CS elektif (pra-dijadualkan) dan sesetengah juga melibatkan CS kecemasan. Cara gula-gula getah diberikan juga berbeza dalam kajian-kajian tersebut; dalam sesetengah kajian wanita mula kunyah gula-gula getah sejurus selepas CS manakala yang lain mula kunyah lebih lambat, sehingga 12 jam. Selain itu, wanita tidak dapat diselindungi untuk mengunyah gula-gula getah. Gabungan keputusan kajian ini (melalui satu meta-analisis) menunjukkan bahawa wanita yang mengunyah gula-gula getah selepas CS mendapat kembali fungsi usus mereka lebih awal. Secara purata, mereka mula kentut tujuh jam lebih awal (13 kajian, 2399 wanita). Kesan ini adalah konsisten bagi wanita CS pertama berbanding CS ulangan, tempoh masa untuk mengunyah gula-gula getah setiap hari, permulaan awal kunyahan gula-gula getah berbanding puasa sehingga fungsi usus kembali, CS elektif berbanding CS kecemasan, dan tempoh masa gula-gula getah mula dikunyah selepas CS. Kualiti bukti adalah sangat rendah. Wanita yang mengunyah gula-gula getah dapat mengurangkan risiko mendapat 'ileus' (gabungan gejala-gejala seperti kembung, kekejangan, loya, muntah-muntah dan ketidakupayaan untuk membuang air besar) sebanyak sekurang-kurangnya separuh berbanding dengan wanita yang tidak mengunyah gula-gula getah (empat kajian, 1139 wanita, bukti kualiti rendah). Kunyahan gula-gula getah mengurangkan masa untuk membuang air besar kali pertama selepas pembedahan sebanyak kira-kira sembilan jam lebih awal (11 kajian, 2016 wanita, kualiti bukti sangat rendah) dan masa untuk keluar hospital sebanyak kira-kira lapan jam (tujuh kajian, 1489 wanita). Hanya tiga daripada 925 wanita yang mengadu tentang kunyahan gula-gula getah dan tiada laporan tentang kesan buruk yang dikaitkan dengan gula-gula getah (lapan kajian, 925 wanita, bukti yang berkualiti rendah). Tiada kajian yang menilai tahap kepuasan wanita berkenaan dengan kunyahan gula-gula getah.

Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah hingga sangat rendah, kebanyakannya disebabkan oleh kekurangan selindung peserta (wanita tahu bahawa mereka mengunyah gula-gula getah) dan kepelbagaian antara kajian.

Apakah maknanya?

Bukti yang ada menunjukkan bahawa kunyahan gula-gula getah dalam tempoh 24 jam selepas CS adalah sesuatu cara yang senang diterima, berkos rendah, selamat dan mudah, serta mampu membantu mempercepatkan pemulihan fungsi usus, meningkatkan keselesaan ibu dan berpotensi mengurangkan kos hospital. Penyelidikan selanjutnya diperlukan untuk menghasilkan regimen kunyahan gula-gula getah yang optima (bila untuk bermula, bilangan dan tempoh sesi setiap hari) untuk meningkatkan pemulihan fungsi usus dan menilai potensi kesan buruk dan kepuasan wanita dengan cara ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Zcho Huey (Penang Medical College). Disunting oleh Andey bin Rahman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information