Pembalut busa untuk merawat tekanan ulser

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada pembalut busa (direka untuk menyerap cecair daripada luka ketika mengekalkan kelembapan) mempunyai kelebihan atau kekurangan dalam menyembuhkan tekanan ulser berbanding dengan pembalut lain (seperti pembalut busa silikon, hidrokolloid, hidrogel atau pembalut luka asas). Penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan (kajian terkawal secara rawak) untuk menjawab soalan ini dan mendapati sembilan kajian yang berkaitan.

Mesej utama

Tiada bukti yang jelas dari sebarang kajian yang termasuk dalam ulasan ini bahawa pembalut busa lebih berkesan pada penyembuhan tekanan ulser daripada jenis pembalut lain; atau pembalut buih yang lebih kos efektif daripada pembalut lain. Hal ini disebabkan sebahagiannya dengan kualiti kajian yang rendah, yang kebanyakannya mempunyai bilangan peserta yang kecil dan tidak memberikan butiran yang tepat mengenai kaedah mereka.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Tekanan ulser (kecederaan tekanan atau luka katil) adalah luka yang terbentuk di bahagian tulang yang jelas seperti tumit, pinggul dan bahagian bawah. Duduk atau berbaring dalam kedudukan yang sama untuk jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakan pada kulit dan tisu yang mendasari. Orang yang berisiko mengalami penyakit tekanan ulser termasuk mereka yang mempunyai mobiliti fizikal yang terhad seperti orang yang mengalami kecederaan saraf tunjang, orang tua, atau mereka yang sakit di hospital.

Rawatan tekanan ulser adalah beban yang ketara terhadap pesakit, penjaga mereka dan sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia. Rawatan untuk ulser tekanan termasuk pembalut, antibiotik dan antiseptik, dan pelepasan tekanan tilam atau kusyen. Terdapat banyak pembalut luka yang boleh digunakan untuk merawat ulser tekanan, yang berbeza dalam kos dan mungkin mempunyai tahap keberkesanan yang berbeza.

Pembalut busa direka untuk menyerap cecair (eksudat) yang berasal dari beberapa luka ulser tekanan, dan untuk mengekalkan persekitaran lembap. Penyelidik ingin mengetahui cara pembalut busa mempengaruhi penyembuhan ulser tekanan dan kadar pengulangannya. Penyelidik juga ingin mengetahui sama ada pembalut busa mempunyai impak terhadap kualiti hidup peserta dan kepuasan dengan rawatan, dan sama ada terdapat sebarang kesan sampingan seperti jangkitan atau kesakitan. Penyelidik juga menilai kos pembalut busa berbanding dengan rawatan lain.

Apakah keputusan utama ulasan?

Penyelidik mendapati sembilan kajian yang diterbitkan antara 1994 dan 2016 yang melibatkan sejumlah 483 peserta dengan tekanan ulser pada Kategori / Peringkat II atau ke atas (luka terbuka). Tujuh daripada sembilan kajian mempunyai lebih banyak peserta perempuan daripada lelaki. Secara purata orang dalam kajian ini adalah 59 tahun atau lebih tua. Kajian membandingkan pembalut busa dengan jenis pembalut lain, tetapi tiada bukti yang jelas untuk menunjukkan pembalut busa lebih berkesan pada penyembuhan ulser tekanan daripada jenis pembalut lain, atau kos yang lebih berkesan. Bukti mengenai pengurangan saiz ulser, kepuasan pesakit dan kesakitan adalah tidak menentu. Tiada kajian yang melaporkan mengenai kualiti hidup peserta atau ulser tekanan yang berulang. Kebanyakkan kajian mendapati pembalut ang dinilai tidak lebih baik atau lebih buruk daripada yang lain di pasaran. Oleh itu, semasa pembalut busa boleh digunakan dengan selamat untuk rawatan untuk ulser tekanan, kesannya terhadap penyembuhan luka tidak disokong oleh bukti saintifik.

Secara umumnya, kajian yang penyelidik dapati tidak mempunyai banyak peserta dan keputusan sering tidak mempunyai kesimpulan. Keseluruhan kualiti bukti yang wujud adalah sangat rendah.

Adakah ulasan ini terkini?

Penyelidik telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga ke Februari 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information