Pemeriksaan dan pengurusan berikutnya untuk disfungsi tiroid pra-kehamilan dan semasa mengandung untuk meningkatkan kesihatan ibu dan bayi

Apakah isunya?

Apakah kesan kaedah pemeriksaan yang berbeza (contohnya menyaring semua wanita berbanding menyaring hanya beberapa wanita, atau tidak menyaring wanita) untuk disfungsi tiroid sebelum atau semasa kehamilan pada hasil untuk ibu dan bayinya?

Mengapakah ini penting?

Tiroid adalah kelenjar besar di leher yang menghasilkan hormon yang membantu mengatur proses kimia dalam badan yang menjaga kehidupan, termasuk pertumbuhan dan penggunaan tenaga. Jika seorang wanita mempunyai tiroid yang terlalu aktif (hipertiroidisme), atau tiroid yang kurang aktif (hipotiroidisme) dalam kehamilan yang tidak diurus, terdapat kemungkinan hasil yang buruk untuk ibu dan bayinya. Ibu mungkin lebih cenderung untuk mendapat tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing (pra-eklampsia), melahirkan bayi sebelum 37 minggu (kelahiran pramatang), dan bayinya mungkin mengalami ketidakupayaan (seperti cerebral palsy, buta, pekak dan kelewatan perkembangan lain termasuk kecacatan intelektual). Menguruskan disfungsi thyroid semasa mengandung (seperti tiroksin untuk hipotiroidisme, atau ubat antithyroid untuk hipertiroidisme) boleh memperbaiki hasil untuk ibu dan bayi mereka. Terdapat kaedah pemeriksaan yang berbeza untuk disfungsi tiroid, termasuk penemuan kes, yang bermaksud menyaring hanya wanita hamil yang dianggap berisiko tinggi disfungsi tiroid, atau pemeriksaan sejagat, yang melibatkan penyaringan semua wanita hamil. Walaupun penyaringan sejagat dapat membantu untuk mendiagnosis lebih banyak wanita dengan hipertiroidisme atau hipotiroidisme daripada mencari kes, ia juga boleh menyebabkan lebih ramai wanita mempunyai ubat-ubatan dan ia mungkin sangat mahal. Pada masa ini tidak jelas kesan daripada kaedah penyaringan yang berbeza untuk disfungsi tiroid untuk ibu dan bayinya, dan perkhidmatan kesihatan.

Apakah bukit yang penyelidik perolehi?

Dalam pencarian penulisan perubatan, penyelidik mendapati terdapat dua kajian terkawal secara rawak, melibatkan 26,408 wanita. Kualiti kajian yang disertakan adalah tinggi, dan kualiti bukti yang mereka berikan adalah sederhana hingga tinggi.

(1) Penyaringan sejagat untuk disfungsi tiroid dalam kehamilan, dan hipotiroidisme secara khusus, meningkatkan jumlah wanita yang didiagnosis dengan hipotiroidisme, yang kemudiannya dirawat (satu kajian yang melibatkan 4562 wanita dan satu kajian yang melibatkan 21,839 wanita). Kajian 4562 wanita juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan wanita yang didiagnosis dengan hipertiroidisme dengan penyaringan sejagat.

(2) Penyaringan sejagat dan rawatan berikutnya tidak menunjukkan manfaat atau bahaya yang jelas bagi wanita atau bayi mereka kerana tidak mengubah bilangan wanita dengan pra-eklampsia (dalam satu kajian yang melibatkan 4516 daripada 4562 wanita untuk hasil ini), bilangan wanita yang melahirkan pramatang (satu kajian yang melibatkan 4516 wanita), atau bilangan kanak-kanak yang cacat (kecerdasan kuasanya (IQ) kurang daripada 85 pada usia tiga tahun) (satu kajian yang melibatkan 794 kanak-kanak yang ibu mempunyai hipotiroidisme daripada jumlah 21,839 wanita).

(3) Salah satu daripada kajian yang disertakan tidak melaporkan kecacatan kemudian untuk bayi, dan kajian lain tidak melaporkan pra-eklampsia atau kelahiran pramatang. Tiada kajian yang melaporkan mengenai penggunaan perkhidmatan kesihatan atau kos.

Apakah maksudnya?

Walaupun kualiti keseluruhan bukti adalah sederhana hingga tinggi, selain mendapati bahawa penyaringan sejagat dapat membantu untuk mendiagnosis lebih banyak wanita dengan hipotiroidisme (yang kemudiannya boleh dirawat), tiada perbezaan yang jelas dalam hasil untuk ibu dan bayi mereka antara penyaringan sejagat dan penemuan kes (atau tidak disaringkan sama sekali). Walaupun kedua-dua kajian yang disertakan melibatkan sejumlah besar wanita, bukti selanjutnya diperlukan untuk menilai potensi kaedah penyaringan yang berlainan pada manfaat atau bahaya jangka pendek dan jangka panjang, serta kesan terhadap perkhidmatan kesihatan termasuk kos.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save