Intervensi perubatan dan pemakanan untuk mencegah karang urinari berulang dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Kami melakukan ulasan ini untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan atau perubahan pemakanan adalah lebih baik daripada tiada intervensi untuk mencegah karang urinari dalam kalangan kanak-kanak (sehingga usia 18 tahun) yang telah dirawat, daripada mendapatkan karang urinari lagi.

Latar belakang

Ramai kanak-kanak membentuk karang ginjal untuk sebab-sebab yang tidak jelas dan memerlukan rawatan. Perubahan dalam apa yang mereka makan dan minum atau ubat-ubatan (atau kedua-duanya) mungkin membantu mengurangkan risiko kanak-kanak ini untuk mendapat karang ginjal lagi tetapi kami tidak tahu kekesanan dan apa kesan sampingannya.

Ciri-ciri kajian

Kami memeriksa penyelidikan yang diterbitkan sehingga 14 Februari 2017. Kami mencari kajian bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dari umur satu hingga 18 tahun yang sebelum ini bermasalah karang ginjal dan diberi pemakanan atau ubat (atau kedua-duanya) untuk menghentikan karang berulang selama sekurang-kurangnya 12 bulan. Kami sangat berminat sama ada karang itu berulang, berapa banyak kesan sampingan dan jika kanak-kanak perlu lebih banyak rawatan untuk karang ginjal.

Keputusan utama

Kami hanya menemui satu kajian kecil dengan 125 kanak-kanak (72 lelaki dan 53 perempuan) yang telah dirawat dengan gelombang serupa dengan gelombang bunyi, yang dipanggil gelombang kejutan untuk merawat karang ginjal mereka. Kanak-kanak ini membentuk karang ginjal untuk sebab-sebab yang tidak diketahui dan mempunyai buah pinggang yang normal. Lima puluh dua kanak-kanak tidak ada karang lagi dan 44 kanak-kanak masih ada karang kecil yang ditinggalkan ketika mereka memulakan kajian. Satu kumpulan diberi ubat melalui mulut yang dipanggil kalium sitrat; kumpulan yang satu lagi tidak diberi ubat khas. Kanak-kanak tersebut dikaji selama dua tahun.

Kajian tersebut melaporkan penemuan dalam 96 kanak-kanak; 48 dalam setiap kumpulan. Berdasarkan kajian ini, kami mendapati ubat ini mungkin menyebabkan karang berulang kurang kerap berlaku. Namun, kami tidak pasti mengenai penemuan ini kerana kajian tersebut tidak berkualiti baik dan kecil. Satu daripada lapan pesakit menghentikan ubat kerana kesan sampingan. Kami tidak menemui sebarang maklumat tentang berapa kerap kanak-kanak perlu dirawat untuk karang lagi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk kejadian karang berulang kurang kerap adalah rendah dan kesan sampingan yang sangat rendah. Kami tidak menemui bukti tentang berapa kerap kanak-kanak perlu dirawat untuk karang lagi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information