Pemulihan jantung berdasarkan senaman untuk orang dewasa selepas pembedahan injap jantung

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Latarbelakang

Pemulihan jantung telah disyorkan sebagai rawatan selepas pembedahan injap jantung, tetapi kami tidak dapat mengenalpasti ulasan sistematik yang terdahulu. Ulasan sistematik ini menilai kemanfaatan dan kemudaratan pemulihan jantung berdasarkan senaman di kalangan orang dewasa yang telah menjalani pembedahan injap jantung.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari kajian rawak klinikal (kajian di mana peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan eksperimen berbanding dengan kumpulan rawatan kawalan) yang menilai kesan pemulihan jantung berdasarkan senaman berbanding dengan tiada senaman selepas pembedahan injap jantung untuk penyakit injap jantung (berpunca daripada sebarang sebab) di kalangan orang dewasa (18 tahun ke atas). Carian maklumat kami adalah sehingga Mac 2015.

Keputusan utama

Kami mendapati dua kajian klinikal rawak yang diterbitkan pada tahun 1987 dan 2004 yang melibatkan 148 peserta. Oleh kerana jumlah data yang terhad, kami tidak dapat menentukan kesan pemulihan berdasarkan senaman terhadap kematian,kesan buruk yang serius, kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, keupayaan untuk kembali bekerja, klasifikasi ‘New York Heart Association’, pelemparan pecahan ventrikel kiri (left ventricular ejection fraction),atau kos. Walau bagaimanapun, pemulihan berdasarkan senaman dapat meningkatkan kapasiti bersenam di kalangan pesakit yang menghadiri rawatan susulan selama 12 bulan. Namun demikian keputusan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati kerana kajian-kajian ini mempunyai risiko ralat sistematik (berat sebelah) yang tinggi. Kajian klinikal rawak tambahan diperlukan untuk memahami dengan pasti kesan senaman fizikal di kalangan orang dewasa selepas pembedahan injap jantung.

Kualiti bukti

Memandangkan kajian yang didapati adalah agak lama, dan juga merupakan kajian yang mempunyai populasi terpilih yang sempit, bukti yang didapati mungkin mempunyai kesan yang minimum kepada amalan klinikal. Kedua-dua ujian mempunyai risiko berat sebelah (kesilapan sistematik) yang tinggi dan kualiti bukti adalah rendah. Disebabkan kekurangan bukti, terdapat juga risiko yang tinggi dimana keputusan mungkin tertakluk kepada ralat rawak (peluang). Oleh itu, kajian klinikal rawak yang lebih berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai kesan-kesan intervensi berasaskan senaman.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Jonathan Teoh (Penang Medical College) Disunting oleh Chan Mei Wai and Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.