Adakah terapi berkumpulan memperbaiki kesejahteraan dalam kalangan orang yang hidup dengan HIV?

Penyelidik Cochrane menjalankan ulasan terhadap kesan terapi berkumpulan untuk orang yang hidup dengan virus imunodifisiensi manusia (HIV). Selepas mencari kajian yang relevan sehingga 14 Mac 2016, mereka menyertakan 16 kajian yang dilaporkan dalam 19 artikel yang mendaftarkan 2520 orang dewasa yang hidup dengan HIV. Kajian yang disertakan dijalankan di AS (12 kajian), Kanada (satu kajian), Switzerland (satu kajian), Uganda (satu kajian), dan Afrika Selatan (satu kajian), dan diterbitkan antara 1996 dan 2016. Sepuluh kajian merekrut lelaki dan wanita, empat kajian yang merekrut lelaki homoseksual, dan dua kajian hanya merekrut wanita.

Apakah terapi berkumpulan dan bagaimana ia memanfaatkan orang dengan HIV?

Terapi berkumpulan bertujuan meningkatkan kesejahteraan individu dengan menyampaikan terapi psikologi dalam format berkumpulan, yang dapat menggalakkan pembangunan sokongan rakan sebaya dan rangkaian sosial. Terapi berkumpulan sering juga menggabungkan latihan dalam teknik relaksasi dan kemahiran bertahan, dan pendidikan mengenai penyakit dan pengurusannya.

Virus imunodifisiensi manusia (HIV) menyebabkan penyakit kronik, mengancam nyawa, dan sering berstigma, yang boleh mengimpak kesejahteraan seseorang. Terapi berkumpulan boleh membantu orang yang hidup dengan HIV menyesuaikan diri dengan mengetahui mereka ada HIV, atau pulih daripada kemurungan, kegelisahan, dan tekanan.

Apakah yang dikatakan oleh penyelidikan?

Terapi berasaskan kumpulan berdasarkan terapi tingkah laku kognitif mungkin mempunyai kesan kecil terhadap ukuran kemurungan, dan kesan ini mungkin bertahan sehingga 15 bulan selepas penyertaan dalam sesi kumpulan(bukti kepastian rendah). Kesan ini jelas dalam kumpulan yang tidak kelihatan tertekan pada sistem pemarkahan klinikal sebelum terapi bermula. Penyelidikan juga menunjukkan terdapat sedikit atau tiada kesan pada ukuran kecemasan, tekanan, dan bertahan(bukti kepastian rendah).

Intervensi berkumpulan berdasarkan kesedaran telah dikaji dalam dua kajian kecil, dan tidak menunjukkan kesan pada ukuran kemurungan, kegelisahan atau tekanan (semua bukti kepastian yang sangat rendah). Tiada intervensi berasaskan kesedaran dalam kajian-kajian tersebut mempunyai sebarang ukuran bertahan yang sah.

Secara keseluruhannya, ulasan menunjukkan intervensi sedia ada tidak mempunyai sebarang kesan dalam memperbaiki penyesuaian psikologi untuk hidup dengan HIV. Lebih banyak kajian yang berkualiti diperlukan untuk memaklumkan amalan dan bukti yang baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information