Probiotik untuk mencegah jangkitan saluran kencing dalam kalangan orang yang bermasalah pundi kencing selepas kecederaan sistem saraf

Apakah isunya?

Fungsi pundi kencing boleh diubah selepas kecederaan kepada sistem saraf dan sering berlaku dalam keadaan seperti sklerosis multipel, kecederaan saraf tunjang atau strok. Jenis disfungsi pundi kencing ini diistilah sebagai 'pundi kencing neuropatik'. Disfungsi pundi kencing dalam kalangan orang yang mengalami kecederaan sistem saraf meningkatkan risiko kekerapan jangkitan pundi kencing. Pada masa ini, tiada cara yang berkesan untuk mencegah jangkitan pundi kencing dalam kalangan mereka. Penggunaan antibiotik jangka panjang adalah tidak digalakkan kerana ia mengurangkan keberkesanan antibiotik. Probiotik adalah bakteria yang boleh memberi manfaat baik kepada tubuh. Beberapa bukti telah wujud untuk menunjukkan probiotik boleh mencegah jangkitan pundi kencing dalam kalangan wanita selepas menopaus.

Apa yang kami lakukan?

Ulasan ini menyiasat bukti keberkesanan probiotik untuk pencegahan jangkitan pundi kencing dalam kalangan orang yang bermasalah pundi kencing selepas kecederaan sistem saraf.

Apa yang kami dapati?

Kami menjalankan satu ulasan kesusasteraan sehingga Mac 2017 dan tiga kajian telah dimasukkan mengikut kriteria pemilihan kami. Ketiga-tiga kajian melaporkan data 110 peserta. Ketiga-tiga kajian menyiasat sama ada memperkenalkan probiotik secara langsung ke dalam pundi kencing untuk mewujudkan koloni yang tidak berbahaya akan mencegah jangkitan saluran kencing dalam kalangan orang yang bermasalah pundi kencing, kebanyakan mereka mengalami kecederaan saraf tunjang. Dua kajian melaporkan bahawa kaedah ini secara umumnya selamat. Ulasan ini mendapati pada amnya, kajian-kajian tersebut adalah berkualiti rendah dan berisiko bias tinggi. Kami mendapati keberkesanan penjajahan dengan probiotik dalam mencegah jangkitan pundi kencing dalam kalangan orang dengan disfungsi pundi kencing adalah tidak pasti. Malah, kejayaan penjajahan adalah berubah-ubah, dan proses penjajahan adalah invasif dan menuntut tahap komitmen yang tinggi dari pihak peserta.

Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang menyiasat sama ada probiotik lain dan laluan pemberian lain berkesan untuk mencegah jangkitan saluran kencing dalam kalangan orang yang mengalami disfungsi pundi kencing.

Kesimpulan

Adalah tidak pasti sama ada probiotik mencegah jangkitan kencing dalam kalangan orang dengan disfungsi pundi kencing selepas kecederaan sistem saraf. Kajian lanjutan yang direka bentuk dengan lebih kukuh diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan