Keberkesanan dan keselamatan alat sedut yang mengandungi ubat aclidinium bromida untuk pengurusan pesakit yang mempunyai COPD yang stabil

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti mengenai keberkesanan dan keselamatan alat sedut aclidinium yang digunakan oleh orang yang mempunyai penyakit kronik paru-paru obstruktif (COPD).

Latar belakang

COPD, juga dikenali sebagai 'penyakit paru-paru perokok', termasuklah keadaan yang dipanggil emfisema dan broknitis kronik di mana penyakit ini terdapat penyempitan saluran pernafasan yang tidak dapat dibetulkan sepenuhnya. Ini merupakan penyakit progresif. Pesakit COPD biasanya mempunyai masalah pernafasan dan batuk yang menghasilkan banyak kahak. Penyakit ini disahkan oleh garis panduan antarabangsa yang ditetapkan oleh Inisiatif Global untuk Penyakit Paru-paru Obstruktif (GOLD). Simptom mungkin menjadi lebih teruk semasa cetusan penyakit. Tujuan utama merawat pesakit COPD adalah untuk melegakan simptom, mengurangkan cetusan penyakit, dan meningkatkan kualiti hidup. Aclidinium adalah ubat sedut baru yang membesarkan saluran pernafasan (bronkodilator). Ubat ini dihantar oleh alat sedut yang dipanggil Genuair atau Pressair. Kami ingin mengetahui sama ada aclidinium adalah lebih baik atau lebih buruk apabila berbanding dengan penggunaan alat sedut lain atau alat sedut yang palsu.

Ciri-ciri kajian

Bukti terkini adalah sehingga 7 April 2014. Kami telah memasukkan 12 kajian yang melibatkan 9547 pesakit COPD dalam tempoh empat hingga 52 minggu. Kajian-kajian tersebut telah ditaja oleh syarikat-syarikat ubat dan direkabentuk dengan baik. Kedua-dua pesakit serta orang yang melakukan penyelidikan itu tidak tahu mana satu rawatan yang diterima oleh pesakit; walaupun dalam satu kajian rawatannya telah diketahui oleh kedua-dua pihak. Lebih ramai lelaki mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut berbanding dengan wanita, dan kebanyakkannya adalah kaukasia. Mereka berumur 60-an dan telah menghisap banyak rokok dalam kehidupan mereka. Mereka mempunyai simptom yang sederhana sehingga teruk apabila memulakan rawatan.

Hasil kajian utama

Aclidinium tidak mengurangkan bilangan orang yang mempunyai cetusan penyakit dan memerlukan ubat tambahan. Terdapat tiada atau sedikit perbezaan dalam bilangan kematian atau kesan-kesan sampingan yang serius antara aclidinium dengan alat sedut palsu. Alat sedut aclidinium meningkatkan lebih kualiti hidup berbanding dengan alat sedut palsu.

Orang yang mengambil aclidinium boleh mengurangkan bilangan kemasukan hospital yang disebabkan oleh cetusan penyakit. Berdasarkan hasil kajian kami, 37 daripada 1000 pesakit yang menggunakan alat sedut palsu selama empat minggu sehingga satu tahun akan memerlukan kemasukan hospital disebabkan oleh cetusan penyakit. Hanya 17 hingga 33 daripada 1000 pesakit memerlukan kemasukan ke hospital jika mereka menggunakan alat sedut aclidinium Kami juga membandingkan ubat ini dengan ubat baru tiotropium di mana tiotropium telah digunakan sebelum ini untuk merawat COPD. Terdapat dua kajian sahaja untuk perbandingan seperti ini, oleh itu kami tidak pasti bagaimana untuk membandingkan aclidinium dengan tiotropium. Kami juga tidak dapat membandingkan aclidinium dengan alat sedut terkenal yang mengandungi formoterol disebabkan data yang tidak boleh dipercayai.

Kualiti bukti

Bagi perbandingan alat sedut aclidinium dan alat sedut palsu, kami yakin bahawa terdapat manfaat dari segi bilangan kemasukan hospital dan kualiti kehidupan pesakit; tetapi kami kurang pasti tentang bilangan cetusan penyakit yang memerlukan ubat tambahan dan kesan sampingan yang serius. Kami tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk menilai apa-apa kesan ke atas jumlah kematian. Kami tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk membandingkan aclidinium dengan tiotropium atau formoterol dengan penuh keyakinan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka Manipal Medical College) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information