Sasaran tekanan darah dalam kalangan orang dengan penyakit kardiovaskular

Mesej utama

Bukti yang dikenal pasti dalam ulasan ini tidak menyokong matlamat tekanan darah rendah berbanding matlamat standard dalam kalangan orang dengan masalah tekanan darah tinggi (juga dikenali sebagai hipertensi) dan jantung atau vaskular (salur darah dan sistem peredaran darah)

Lebih banyak kajian baharu diperlukan untuk menjawab soalan ini

Apakah tekanan darah tinggi?

Hipertensi (tekanan darah tinggi) adalah satu keadaan jangka panjang yang meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti serangan jantung, strok atau penyakit buah pinggang.

Bagaimana tekanan darah tinggi dirawat?

Ramai orang dengan masalah jantung atau vaskular juga mempunyai tekanan darah tinggi. Sesetengah garis panduan klinikal mengesyorkan matlamat tekanan darah yang lebih rendah (135/85 mmHg atau lebih rendah) untuk orang dengan tekanan darah tinggi dan masalah jantung atau vaskular berbanding mereka yang tiada tekanan darah tinggi (tekanan sistolik 140 mmHg hingga 160 mmHg atau kurang (tekanan apabila jantung mengepam darah ke seluruh tubuh) dan 90 mmHg hingga 100 mmHg diastolik atau kurang (tekanan apabila jantung berehat antara degupan) adalah matlamat tekanan darah standard). Adalah tidak jelas sama ada matlamat yang lebih rendah membawa kepada manfaat kesihatan keseluruhan.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika matlamat tekanan darah rendah adalah lebih baik daripada matlamat tekanan darah standard untuk orang dengan tekanan darah tinggi yang juga bermasalah jantung atau vaskular.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan sasaran tekanan darah rendah dengan sasaran tekanan darah standard dalam kalangan orang dengan tekanan darah tinggi dan sejarah penyakit kardiovaskular (penyakit jantung, angina, strok, penyakit vaskular). Kajian-kajian perlu membincangkan keputusan seperti kematian atau kejadian lain akibat penyakit jantung atau saluran darah, seperti serangan jantung, strok, atau kegagalan jantung. Kajian-kajian juga boleh membincangkan jenis kesan sampingan lain yang berkait dengan kesihatan. Kami hanya memilih kajian rawak (di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 50 atau lebih orang dalam setiap kumpulan dan kajian telah berlangsung sekurang-kurangnya enam bulan.

Apakah yang kami temui?

Dalam kemas kini ini, kami menemui satu kajian baharu yang menjadikan sejumlah tujuh kajian dengan 9595 orang termasuk dalam ulasan. Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kematian, atau kematian jantung atau vaskular antara matlamat tekanan darah rendah dan standard. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan untuk jumlah bilangan masalah jantung atau vaskular dan jumlah bilangan mudarat yang serius, tetapi buktinya adalah kurang pasti.

Apakah batasan bukti?

Berdasarkan ketidakpastian dan maklumat terhad, kami mendapati lebih ramai orang tercicir daripada kajian kerana mudarat berkaitan ubat dalam kumpulan sasaran tekanan darah rendah dan tiada manfaat kesihatan keseluruhan dalam kalangan orang dalam kumpulan sasaran yang lebih rendah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemaskini ketiga ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2017. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information