Apakah ujian paling tepat untuk mengesan kanser mulut atau bibir (kanser oral) dan keadaan-keadaan yang menjurus kepada kanser oral?

Mengapa penting untuk mempertingkat pengesanan kanser oral?

Tompok atau luka abnormal yang berterusan di dalam mulut boleh mewakili kanser mulut atau gangguan oral berpotensi malignan (OPMD). OPMD kadang-kadang boleh berubah menjadi kanser mulut, tetapi jika dikenalpasti lebih awal, hasil pesakit dapat diperbaik.

Apakah matlamat ulasan ini?

Mendiagnos kanser mulut melibatkan pembuangan surgikal sedikit tisu yang terlibat (biopsi) dan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan sel menggunakan mikroskop. Cara ini sakit bagi pesakit dan melibatkan keputusan yang tertangguh. Ulasan Cochrane ini bertujuan menentukan ketepatan ujian diagnostik yang kurang invasif yang boleh memberi keputusan dalam masa yang lebh singkat. Penyelidik Cochrane menyertakan 63 kajian untuk menjawab soalan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Tiga ujian diguna sebagai tambahan kepada pemeriksaan visual dinilai.

- stain vital: cecair yang diguna sebagai ubat kumur mulut atau aplikasi terus ke kawasan mulut yang disyaki abnormal. Sebarang kawasan yang diwarnai selepas aplikasi cecair ini berkemungkinan tinggi kanser oral atau OMPD.
- Sitologi oral: berus diguna untuk mengeluarkan sel dari kawasan yang disyaki abnormal yang dihantar ke makmal untuk pemeriksaan mikroskopik.
- Pengesanan berasaskan cahaya: cahaya khusus dipancar ke dalam mulut yang dipercayai membuat kawasan berkanser kelihatan berlainan dari kawasan yang sihat.

Sebilangan kecil kajian menilai kombinasi ujian-ujian ini. Tiada kajian menilai ketepatan ujian darah atau air liur.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan 63 kajian yang melibatkan 7942 tompok abnormal atau luka mulut. Setiap peserta kajian menjalani satu atau lebih ujian diagnostik serta biopsi pembedahan.

Perkadaran orang dengan kanser mulut atau OPMD yang dikenalpasti melalui biopsi pembedahan adalah antara 4% hingga 97%. Berdasarkan dewasa yang hadir ke praktik pergigian umum di UK, dalam sampel 1000 lesi 25 adalah kanser atau OPMD, dan 975 lesi bukanlah kanser atau OPMD.

- Dari 1000 lesi yang diuji dengan stain vital: 22 lesi akan dikenal pasti tepat sebagai kanser mulut atau OPMD (positif benar), tetapi tiga lesi yang benar-benar kanser mulut atau OPMD akan kekal tidak dapat dikesan; keputusan ujian 'negatif' adalah tidak betul (negatif palsu). 663 lesi akan dikenal pasti tepat sebagai tiada kanser mulut atau OPMD (negatif benar), tetapi 312 orang akan salah dikenal pasti; keputusan ujian ‘positif’ akan mencadangkan mereka ada kanser mulut atau OMPD (positif palsu).

- Untuk sitologi oral: 23 lesi akan dikenal pasti tepat sebagai kanser mulut atau OPMD (positif benar), tetapi dua lesi yang benar-benar kanser mulut atau OPMD akan kekal tidak dapat dikesan; (negatif palsu). 917 lesi akan dikenal pasti tepat sebagai tiada kanser mulut atau OPMD (negatif benar), tetapi 58 lesi akan salah dikenal pasti (positif palsu).

- Untuk ujian berasaskan cahaya: 22 lesi akan dikenal pasti tepat sebagai kanser mulut atau OPMD (positif benar), tetapi tiga lesi yang benar-benar kanser mulut atau OPMD akan kekal tidak dapat dikesan; (negatif palsu). 488 lesi akan dikenal pasti tepat sebagai tiada kanser mulut atau OPMD (negatif benar), tetapi 487 lesi akan salah dikenal pasti (positif palsu).

Terdapat variabilitas yang besar dalam ketepatan stain vital dan ujian berdasarkan cahaya, yang bermaksud keputusan kajian masa depan boleh memberi julat yang luas.

Adakah keputusan kajian-kajian dalam ulasan ini boleh percaya?

Terdapat banyak kekurangan dalam kebanyakan kajian-kajian yang menyebabkan risiko bias tinggi. Kami menilai kepastian bukti sebagai sederhana untuk sitologi oral dan rendah atau sangat rendah untuk ujian lainnya.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini dilakukan di pelbagai negara tetapi tiada kajian yang berasal dari Afrika. Kebanyakan kajian dilengkapkan di hospital. Kajian-kajian diterbitkan antara 1980 dan 2020.

Apakah implikasi ulasan ini?

Walaupun sitologi adalah paling tepat antara semua ujian, tiada yang dapat disyorkan untuk mengganti biopsi pembedahan standard yang diguna pada masa kini bagi penilaian biopsi pembedahan dan penilaian patologi. Kebanyakan kajian menyelidik pesakit yang telah dirujuk ke klinik hospital untuk siasatan lanjutan, oleh itu kami hanya ada maklumat yang terhad tentang ketepatannya apabila diguna oleh doktor gigi umum atau penyedia perubatan barisan hadapan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 20 Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information