Bolehkah rokok elektronik membantu orang berhenti merokok, dan adakah ia selamat digunakan untuk tujuan ini?

Latar belakang

Rokok elektronik (EC) adalah peranti elektronik yang menghasilkan aerosol (biasanya dirujuk sebagai wap) yang dihidu pengguna. Wap ini biasanya mengandungi nikotin tetapi tanpa kebanyakan toksin yang dihidu perokok dalam asap rokok. EC telah menjadi popular dalam kalangan perokok yang ingin mengurangkan risiko merokok. Kajian ini bertujuan untuk mengetahui sama ada EC membantu perokok berhenti merokok, dan sama ada selamat untuk menggunakan EC bagi tujuan ini.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah satu pengemaskinian daripada sorotan sebelumnya. Sorotan kajian yang pertama telah diterbitkan pada tahun 2014 dan melibatkan 13 kajian. Untuk kemaskini, kami mencari kajian yang diterbitkan hingga bulan Januari 2016 dan menjumpai 11 kajian baru. Hanya dua daripada kajian tersebut adalah kajian rawak terkawal dan mengikuti peserta sekurang-kurangnya enam bulan. Ini memberikan bukti terbaik. Baki 22 kajian tersebut sama ada tidak mengikuti peserta untuk tempoh yang lama atau tidak mempunyai peserta dalam kumpulan rawatan, maka tidak boleh membanding EC secara langsung dengan sesuatu yang lain. Kajian-kajian ini kurang memberitahu kita tentang bagaimana EC mungkin membantu berhenti merokok tetapi boleh memberitahu kita tentang keselamatan jangka pendek. Kedua-dua kajian rawak yang dijalankan di New Zealand dan Itali, membandingkan EC dengan dan tanpa nikotin. Kami menilai kajian ini sebagai bias berisiko rendah. Dalam satu kajian, peserta mahu berhenti merokok, manakala dalam kajian yang lain, tidak. Kajian yang mana pesertanya mahu berhenti merokok juga membandingkan EC dengan tampalan nikotin.

Keputusan utama

Gabungan keputusan daripada dua kajian yang melibatkan 662 orang, menunjukkan bahawa menggunakan EC dengan nikotin meningkatkan peluang untuk berhenti merokok dalam jangka masa panjang berbanding menggunakan EC tanpa nikotin. Kami tidak dapat menentukan sama ada EC lebih baik daripada tampalan nikotin dalam membantu orang berhenti merokok, kerana bilangan peserta dalam kajian ini adalah rendah. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai kesan ini. Kajian lain mempunyai kualiti yang lebih rendah, tetapi mereka menyokong penemuan ini. Tiada satu kajian pun mendapati perokok yang menggunakan EC untuk tempoh masa pendek hingga pertengahan (dua tahun atau kurang) mempunyai risiko kesihatan yang lebih tinggi berbanding perokok yang tidak menggunakan EC.

Kualiti bukti

Kualiti bukti keseluruhan adalah rendah kerana ia berdasarkan pada sebilangan kecil kajian, walaupun kajian ini telah dijalankan dengan baik. Lebih banyak kajian terhadap EC diperlukan. Ada yang sedang dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my. Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan