Kesan antibiotik terhadap sakit gigi akibat keradangan atau jangkitan pada akar gigi dalam kalangan dewasa.

Ulasan Cochrane ini dihasilkan untuk menilai kesan antibiotik ke atas sakit dan bengkak yang dialami oleh orang dewasa dalam dua keadaan yang lazim menyebabkan sakit gigi. Ulasan ini menilai kesan mengambil antibiotik apabila diberi dengan atau tanpa rawatan pergigian.

Latar belakang

Sakit gigi adalah masalah lazim dan boleh timbul apabila saraf dalam gigi mati akibat kerosakan berterusan atau kecederaan. Tanpa rawatan, bakteria boleh menjangkiti gigi yang mati dan menyebabkan abses, dan membawa kepada bengkak dan jangkitan boleh merebak dan kadangkala mengancam nyawa.

Rawatan yang disyorkan untuk sakit gigi seperti ini adalah pembuangan saraf yang mati dan bakteria yang berkaitan. Ia sering dibuat dengan cabutan gigi atau rawatan kanal akar (prosedur di mana saraf dan pulpa dibuang dan bahagian dalam gigi dicuci dan dipengap) Antibiotik hanya disyorkan apabila terdapat jangkitan teruk yang telah merebak dari gigi ke tisu sekitarnya. Namun, sesetengah doktor gigi memberi antibiotik oral secara rutin kepada pesakit yang mengalami sakit gigi akut yang tiada tanda-tanda jangkitan merebak atau tanpa rawatan untuk membuang bahan yang dijangkiti.

Penggunaan antibiotik menyumbang kepada pembentukan bakteria kebal antibiotik. Oleh itu adalah penting antibiotik hanya diguna apabila ia memberi manfaat kepada pesakit. Doktor gigi mempreskripsi lebih kurang 8% hingga 10% daripada semua antibiotik dalam penjagaan primer di negara berpendapatan tinggi, oleh itu adalah penting untuk memastikan doktor gigi mempunyai maklumat terbaik mengenai masa dimana antibiotik akan memanfaatkan pesakit.

Ciri-ciri kajian

Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga 26 Februari 2018. Kami mencari pangkalan data saintifik dan mendapati dua kajian yang melibatkan 62 peserta untuk analisis. Kedua-dua kajian dilaksanakan di sekolah pergigian AS dan menilai penggunaan antibiotik oral untuk mengurangkan sakit dan bengkak yang dilaporkan oleh orang dewasa selepas peringkat pertama rawatan kanal akar dengan penggunaan anestesia setempat. Antibiotik yang diguna dalam kedua-dua kajian ialah penisilin VK dan semua peserta juga menerima ubat penahan sakit.

Keputusan utama

Kedua-dua kajian tersebut melaporkan tiada perbezaan nyata tentang sakit dan bengkak yang dilaporkan oleh peserta yang menerima antibiotik oral berbanding plasebo (rawatan semu) apabila diberi sejurus peringkat pertama rawatan kanal akar bersama ubat penahan sakit. Walau bagaimanapun, kajian-kajian tersebut adalah kecil dan menghasilkan kualiti bukti yang rendah, oleh itu kami tidak pasti jika keputusannya adalah tepat. Kedua-dua kajian tidak menilai kesan antibiotik yang diambil sendiri tanpa rawatan pergigian surgikal.

Satu kajian melaporkan kesan sampingan dalam kalangan peserta: seorang yang menerima ubat plasebo mengalami cirit-birit dan seorang lagi yang menerima antibiotik mengalami keletihan dan kurang tenaga selepas rawatan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah. Buat masa kini, masih kekurangan bukti untuk menentukan kesan antibiotik dalam keadaan-keadaan tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tan May Loong.(RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information