Elevasi kepala semasa pengurusan rawatan intensif dalam kalangan orang dengan kecederaan otak traumatik

Soalan ulasan

Bagaimana posisi sandaran katil (posisi kepala) mempengaruhi orang yang cedera di kepala yang menyebabkan kerosakan otak yang serius?

Latar belakang

Peningkatan tekanan dalam tengkorak (hipertensi intrakranial) akibat bengkak adalah punca kematian dan kecacatan yang lazim dalam kalangan orang dengan kecederaan otak. Bagaimana seseorang dengan hipertensi intrakranial pulih sering bergantung kepada cara mereka dirawat. Sesetengah orang berpendapat kedudukan sandaran katil(dipanggil 'elevasi kepala katil' atau HBE) mungkin mempengaruhi tekanan dan memperbaiki pemulihan seseorang. Posisi sandaran katil adalah intervensi yang mudah dan murah. Ini adalah penting kerana kebanyakan kecederaan otak berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana dengan sistem kesihatan yang kurang maju dan sumber terhad untuk menangani kecederaan otak.

Tarikh carian

Pada Mac 2017, penulis ulasan mencari kajian-kajian rawak.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tiga kajian kecil, dengan sejumlah 20 orang (11 orang dewasa dan 9 kanak-kanak). Kajian-kajian ini mempunyai reka bentuk silang (peserta menerima intervensi kajian dalam susunan rawak, dan bertindak sebagai kawalan mereka sendiri) dan melihat kesan pelbagai posisi kepala. Para penyelidik mengukur tekanan di dalam tengkorak (tekanan intrakranial (ICP)) dan kecerunan tekanan yang menyebabkan aliran darah ke otak (tekanan perfusi serebrum (CPP)). Dua kajian dibiaya oleh geran penyelidikan dari Jabatan Kesihatan Negara, dan satu kajian tidak menerima pembiayaan.

Keputusan utama

Semasa susulan 28 hari selepas kemasukan ke hospital, seorang kanak-kanak meninggal dunia. Tiada kajian menilai kualiti hidup, Skala Koma Glasgow (ukuran kesedaran seseorang), atau ketakupayaan. Kajian-kajian tersebut memberi pelbagai keputusan dan kepastian kami dalam keputusannya adalah sangat rendah, oleh itu kami tidak fikir bukti tersebut boleh dipercayai. Tiada di antara kajian tersebut menemui sebarang bukti mengenai perubahan dalam CPP akibat pelbagai posisi sandaran. Keputusan untuk ICP lebih bercampur-campur tapi masih belum ada bukti yang meyakinkan bahawa HBE mengubah ICP. Tiada bukti cukup untuk menyatakan sama ada intervensi tersebut adalah selamat. Seorang kanak-kanak mengalami peningkatan ICP sebagai respon kepada intervensi, yang dapat diselesaikan apabila ketinggian katil dikembalikan ke posisi normal. Kami tidak pasti tentang kesan pelbagai posisi sandaran dalam kalangan orang dengan kecederaan otak yang serius.

Kualiti bukti

Bukti untuk soalan penyelidikan ini adalah sangat rendah kerana pelbagai respon fisiologi dalam kalangan peserta kajian, risiko bias yang tidak jelas dalam kaedah kajian, dan bilangan perserta yang kecil dalam setiap kajian.

Kesimpulan

Kami tidak pasti tentang kesan pelbagai posisi sandaran dalam kalangan orang dengan kecederaan otak yang serius. Kajian dengan reka bentuk lebih baik dan lebih besar diperlukan. Kajian juga perlu mengukur hasil pesakit yang tepat dalam tempoh masa yang lebih lama untuk memahami bagaimana dan bila posisi sandaran boleh mempengaruhi orang dengan kecederaan otak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information