Adakah pengasingan tempat restorasi pergigian dapat meningkatkan prestasi restorasi tersebut?

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai sama ada pengunaan pelbagai kaedah pengasingan dapat mempengaruhi prestasi restorasi gigi.

Latarbelakang

Rawatan pergigian restoratif digunakan untuk membaiki kerosakan gigi akibat gigi yang reput atau selepas kemalangan. Mengadakan halangan fizikal pada kawasan yang dirawat untuk mengurangkan kontaminasi air liur adalah amalan yang lazim. Mengurangkan jumlah air liur di kawasan rawatan meningkatkan pengikatan bahan-bahan pembaikan gigi mengikat kepada gigi, meningkatkan prestasi dan keutuhan restorasi. Ia juga dapat mengurangkan pendedahan kepada bakteria di dalam mulut.

Dua kaedah untuk membentuk halangan sering digunakan iaitu sama ada empangan getah di sekeliling gigi ataupun pengunaan gulungan kapas bersama-sama penyedutan untuk membuang air liur yang berlebihan.Kaedah empangan getah melibatkan penggunaan helaian lateks pada satu bingkai. Lubang kecil dibuat pada helaian getah tersebut dan diletakkan pada gigi yang dirawat untuk menyediakan halangan fizikal di sekeliling gigi. Penggunaan empangan getah dapat mengasingkan gigi daripada bahagian mulut yang lain dan membolehkan gigi yang dirawat menjadi lebih kering, kerana kurangnya pendedahan kepada bakteria di dalam mulut.Kaedah alternatif pengasingan gigi yang lazim adalah penggunaan gulungan kapas bersama pembuangan air liur berlebihan dengan cara sedutan.Namun, bukti keberkesanan penggunaan empangan getah berbanding gulungan kapas adalah bercanggah.

Ciri-ciri kajian

Bukti ulasan yang dibuat bersama Kesihatan Oral Cochrane adalah terkini sehingga 17 Ogos 2016. Kami memasukkan empat kajian yang menilai 1037 peserta, kebanyakannya di kalangan kanak-kanak yang menjalani pelbagai jenis rawatan pergigian restoratif menggunakan bahan yang memerlukan kawalan lembapan agar kadar kegagalan dapat dikurangkan.Misalnya pengunaan kaedah pemeteraian fisur, tampalan resin ataupun komposit di pinggir gusi dan rawatan restoratif atraumatik pada molar primer.Kesemua kajian tersebut membandingkan dua kaedah pengasingan iaitu penggunaan empangan getah dan gulungan kapas.

Keputusan utama

Terdapat bukti yang mencadangkan bahawa penggunaan empangan getah dapat meningkatkan masa mandiri restorasi gigi berbanding dengan penggunaan gulungan kapas sebagai kaedah pengasingan
.Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan sebarang kesan sampingan.

Kualiti bukti

Bukti yang dikemukakan adalah berkualiti sangat rendah kerana bilangan kajian yang kecil, keputusan yang tidak pasti dan masalah berkaitan dengan cara perlaksanaan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save