Membersih di antara gigi dengan berus antara gigi untuk mencegah dan mengawal penyakit gusi dan kerosakan gigi di kalangan orang dewasa 

Soalan ulasan

Ulasan yang dibuat oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini bertujuan menilai keberkesanan memberus antara gigi (celah gigi) sebagai tambahan kepada pemberusan gigi secara tunggal atau memberus gigi dan memflos untuk pencegahan dan kawalan penyakit gusi, plak gigi (filem melekit yang mengandungi bakteria) dan karies gigi (kerosakan gigi)

Latarbelakang

Penyakit gusi serta kerosakan gigi merupakan sebab utama kehilangan gigi. Jika tidak diberus, plak akan berkumpul atas permukaan gigi. Pengumpulan plak boleh menyebabkan keradangan gusi dan penyakit gusi dan merupakan faktor utama pembentukan kerosakan gigi.

Memberus gigi secara konvensional sahaja tidak cukup berkesan untuk membuang plak di antara gigi. Flos gigi telah digunakan sekian lama bersama pemberusan gigi untuk membuang plak di antara gigi. Namun, buat masa kini teknik memberus antara gigi telah dibangunkan dan orang ramaimendapati ia lebih mudah diguna berbanding flos. Sekiranya teknik pemberusan antara gigi digunakan, perlu ada cukup ruang antara gigi untuk membolehkannya.

Berus antara gigi adalah berus gigi berkepala kecil, didapati dalam pelbagai saiz kelebarannya untuk menepati ruang antara gigi. Ia boleh benbentuk tirus atau silinder. Berus yang diguna di sekeliling implan mempunyai dawai bersalut untuk menghindar cakaran atau kejutan.

Bersama denga flos gigi, berus antara gigi sering disyorkan, diiklankan dan sedia ada untuk membersih di antara gigi.

Ciri kajian

Bukti ulasan ini adalah berdasarkan yang terkini iaitu sehingga 7 Mac 2013. Tujuh kajian dengan jumlah keseluruhan 354 peserta terlibat dalam ulasan ini. Peserta berumur 16 tahun ke atas dan mempunyai gigi. Bagi pemilihan kajian-kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini, tiada perbezaan dibuat atas dasar bangsa, jantina, pekerjaan (status sosioekonomi), tempat, latarbelakang pendedahan kepada fluorida, status kesihatan permulaan, persekitaran atau masa intervensi.Kajian-kajian adalah dikecualikan daripada ulasan jika majoriti peserta mempunyai aplians ortodontik (pendakap), jika peserta dipilih atas dasar keadaan kesihatan khas atau jika majoriti peserta mempunyai penyakit gusi yang teruk.

Keputusan utama

Terdapat sedikit bukti berkualiti rendah menyokong bahawa penggunaan berus di antara gigi bersama memberus gigi lebih bermanfaat daripada memberus gigi sahaja untuk kawalan plak dan gingivitis pada tempoh satu bulan. Terdapat juga bukti berkualiti rendah bahawa penggunaan berus antara gigi mengurangkan gingivitis (keradangan gusi) sebanyak 52% berbanding memflos sahaja pada tempoh satu bulan. Tiada cukup bukti untuk menunjukkan manfaat bagi kedua-dua pemberusan di antara gigi atau memflos untuk mengawal plak.

Tiada kajian yang melaporkan kerosakan gigi kerana tiada kajian yang menepati tempoh untuk mengesan perubahan kerosakan awal gigi. Tiga kajian melaporkan tiada kesan buruk dalam tempoh kajian. Dua kajian lain memberi data berkenaan kesan buruk/masalah seperti kesukaran untuk manipulasi flos, untuk sampai kepada gigi belakang, berus antara gigi menjadi herot atau melengkok (paling serius) dan flos membuat gusi sakit, namun kami tidak dapat menganalisa data secara formal kerana kajian-kajian tidak memberi cukup maklumat. Dua kajian tidak melaporkan sama ada kesan buruk berlaku.

Kualiti bukti

Kualiti kajian tunggal membandingkan pemberusan di antara gigi dengan pemberusan gigi sahaja dinilai sebagai berkualiti rendah. Bukti kualiti untuk perbandingan pemberusan antara gigi dan memflos dengan tambahan kepada pemberusan gigi adalah rendah. Tiada kajian mealporkan pembentukan kerosakan gigi.   

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan