Bersilih ganti dan mengabungkan antipiretik untuk rawatan demam bagi kanak-kanak

Kanak-kanak sering mengalami demam bila mereka mendapat jangkitan virus atau bakteria Demam disebabkan oleh jangkitan virus yang biasa dialami seperti selsema, batuk, sakit tekak dan penyakit cirit birit, biasanya berterusan selama beberapa hari. Kanak-kanak berasa kurang sihat, dan ia boleh memberikan tekanan kepada kanak-kanak, ibu bapa, atau penjaga yang lain.

Paracetamol (juga dikenali sebagai acetaminophen) dan ibuprofen boleh menurunkan suhu badan dan melegakan ketidakselesaan. Ulasan ini menilai sama ada memberi kedua-dua rawatan bersama-sama, atau bergilir menggunakan kedua-dua rawatan ini adalah lebih berkesan daripada hanya memberikan paracetamol atau ibuprofen.

Pada September 2013, kami mendapati enam kajian yang melibatkan 915 kanak-kanak, yang telah menilai gabungan atau bergilir menggunakan parasetamol dan ibuprofen untuk merawat demam di kalangan kanak-kanak.

Berbanding dengan memberikan ibuprofen atau paracetamol sahaja, memberikan kedua-dua ubat bersama-sama mungkin lebih berkesan dalam menurunkan suhu bagi empat jam yang pertama selepas rawatan (kualiti sederhana bukti). Namun demikian, hanya satu ujikaji yang menilai sama ada gabungan rawatan boleh menyebabkan kanak-kanak kurang selesa atau menderita dan ia mendapati bahawa tiada perbezaan berbanding ibuprofen atau paracetamol sahaja.

Secara kebiasaanya, penjaga sering dinasihatkan supaya memberikan satu agen (paracetamol atau ibuprofen), dan kemudian memberikan dos alternatif lagi jika kanak-kanak itu terus demam. Memberi rawatan bergilir dengan cara ini mungkin lebih berkesan dalam menurunkan suhu untuk tiga jam yang pertama selepas dos kedua (kualiti bukti rendah), dan juga boleh mengurangkan ketidakselesaan dalam kanak-kanak (kualiti bukti rendah).

Hanya satu kajian kecil yang membandingkan rawatan terapi selang seli dengan terapi gabungan dan ia didapati tiada kelebihan di antara (bukti kualiti yang sangat rendah) kedua-dua intervensi tersebut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information