Asid lemak politaktepu (PUFA) untuk kanak-kanak yang mempunyai gangguan pembelajaran spesifik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti mengenai keberkesanan asid lemak politaktepu (PUFA), berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan, ke atas kebolehan membaca, menulis atau kebolehan matematik kanak-kanak sehingga umur 18 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran yang spesifik.

Latar belakang

Kanak-kanak dengan gangguan pembelajaran spesifik adalah mereka yang mempunyai kebolehan membaca, mengeja, menulis dan matematik yang jauh ke bawah daripada jangkaan umur mereka, dan masalah mereka adalah bukanlah akibat kecerdasan rendah, pengajaran yang tidak cukup atau deprivasi sosial. Seseorang kanak-kanak mungkin mempunyai gangguan tunggal, seperti gangguan membaca, atau gangguan gabungan, seperti gangguan membaca dan gangguan matematik. Kanak-kanak mungkin mempunyai masalah lain juga, seperti gangguan kekurangan tumpuan dan hiperaktiviti (ADHD), bersama-sama dengan gangguan pembelajaran spesifik.

Asid lemak politaktepu adalah perlu untuk perkembangan dan fungsi otak yang normal. PUFA yang terkenal adalah asid lemak omega-3, yang termasuk asid docosahexaenoik (dikenali sebagai DHA), tetapi asid lemak omega-6 juga terkenal. Asid lemak politaktepu mesti diperolehi daripada makanan atau makanan tambahan, kerana tubuh manusia tidak boleh membuatnya dari lain-lain jenis lemak. Oleh kerana ia diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangkan otak yang normal, PUFA mungkin membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran spesifik.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga November 2015.

Kami mendapati dua kajian kecil melibatkan 116 kanak-kanak yang memenuhi kriteria kemasukan kami. Kedua-dua kajian memberikan kanak-kanak kapsul gabungan omega-3 dan omega-6 sebagai intervensi selama tiga bulan. Kebanyakan kajian-kajian ini melibatkan kanak-kanak lelaki berumur di antara 10 dan 18 tahun - satu kajian telah dijalankan di persekitaran sekolah, dan yang satu lagi di sebuah klinik khusus. Salah satu kajian telah dibiaya oleh syarikat yang membekalkan omega-3 dan omega-6 tambahan.

Satu lagi kajian tidak dapat dimasukkan dalam ulasan ini kerana penyelidik mencampurkan carnosine (asid amino yang sangat tertumpu di otak) kepada PUFA. Carnosine dan PUFA mungkin mempunyai kesan yang sama, oleh itu tidak mungkin untuk memisahkan keberkesanan kedua-dua bahan tersebut. Penulis ulasan mengeluarkan lima kajian kerana ia tidak mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah didiagnos dengan gangguan pembelajaran spesifik.

Keputusan utama

Tiada kajian yang disertakan melaporkan kesan PUFA ke atas kebolehan membaca, menulis, mengeja atau kebolehan matematik.

Bukti berkualiti rendah (kerana kajian melibatkan bilangan peserta yang kecil dan menunjukkan bias) mencadangkan bahawa menggunakan PUFA tidak meningkatkan risiko gangguan kecil kepada sistem penghadaman. Kajian-kajian tersebut melaporkan tiada lain-lain jenis kesan buruk.

Kedua-dua kajian melaporkan tingkah laku yang berkaitan dengan ADHD. Walau bagaimanapun, format data sedia ada tidak membolehkan penggabungannya atau untuk mencapai sebarang kesimpulan. Kajian-kajian tersebut melaporkan tiada hasil sekunder lain.

Kesimpulan

Bukti adalah tidak mencukupi untuk menyokong atau menyangkal penggunaan PUFA dalam kalangan kanak-kanak dengan gangguan pembelajaran spesifik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save