Program berasaskan di sekolah rendah yang direka untuk membantu mencegah kerosakan gigi dengan menukar tingkah laku kanak-kanak

Meningkatkan kesihatan pergigian kanak-kanak adalah keutamaan kesihatan awam global. Pada masa kini 60% hingga 90% kanak-kanak berumur lima tahun di serata dunia mengalami kerosakan gigi. Kefahaman tentang bagaimana untuk bertindak lebih awal bagi memperkenalkan tabiat kesihatan pergigian yang baik memerlukan kefahaman tingkah laku utama sama ada yang boleh membantu mencegah kerosakan (memberus gigi, dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida) atau menggalakkan kerosakan (pengambilan snek bergula) pada gigi kanak-kanak. Sekolah rendah menyediakan persekitaran di mana intervensi tingkah laku yang direka untuk menggalakkan dan memperkenalkan tabiat memberus gigi dan mengambil snek yang baik boleh diuji.

Ulasan ini menilai kejayaan intervensi kajian-kajian yang sesuai untuk meningkatkan kesihatan pergigian dalam kalangan kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun. Carian terkini kajian-kajian yang relevan dibuat pada 18 Oktober 2012.

Intervensi adalah program-program yang membolehkan kanak-kanak.

- Membuat perubahan yang berkekalan pada tabiat memberus gigi.
- Mengurangkan jumlah dan kekerapan pengambilan makanan dan minuman yang boleh merosakkan gigi.

Kajian-kajian perlu memasukkan elemen pendidikan yang mengajar kemahiran atau memberi arahan dan satu atau lebih teknik untuk menukar tingkah laku.

Daripada 1518 kajian berkaitan ditemui, hanya empat yang cukup relevan dan berkualiti tinggi untuk dimasukkan ke dalam ulasan ini. Satu kajian kecil menunjukkan kanak-kanak yang menerima intervensi tingkah laku mendapat karies yang berkurangan semasa kajian dibuat. Tiga kajian menunjukkan plak pergigian berkurangan (kebersihan oral lebih baik) dalam kalangan kanak-kanak kumpulan intervensi tingkah laku. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Kesihatan pergigian kanak-kanak berumur 4 hingga 12 tahun adalah isu yang penting - mengurangkan jumlah kerosakan dalam kumpulan ini akan memberi impak positif kepada kesihatan keseluruhan, terutama bagi mereka yang tinggal dalam komuniti paling miskin. Lebih banyak kajian bermutu tinggi dengan reka bentuk program yang baik akan membantu menentukan teknik yang paling berkesan dalam menukar tingkah laku kanak-kanak dan ibubapa untuk menggalakkan cara memberus gigi yang baik dan tidak menggalakkan pengambilan snek bergula.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Mohd Boniami Yazid (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information