Antihistamin untuk selesema

Soalan ulasan
Kami telah mengkaji bukti-bukti tentang keberkesanan antihistamin pada tanda-tanda dan gejala selesema. Kami telah mengenal pasti 18 kajian dengan 4342 peserta.

Latar Belakang
Secara puratanya, kanak-kanak mempunyai enam hingga lapan selesema setahun manakala orang dewasa mempunyai dua hingga empat selesama. Gejala-gejala selesema termasuk sakit tekak, hidung tersumbat dan berhingus, bersin dan batuk. Ia adalah disebabkan oleh virus dan biasanya ia akan pulih dengan sendiri dalam masa satu hingga dua minggu. Namun demikian, selesema mempunyai impak yang besar untuk tidak hadir kerja atau sekolah.

Oleh kerana tiada penawar untuk selesema, hanya rawatan simptomatik boleh didapati. Antihistamin adalah berkesan untuk gejala alahan seperti rinitis alergi. Gejala hidung untuk rinitis alergi adalah sama dengan gejala selesema dan kajian-kajian telah dijalankan untuk meninjau sama ada antihistamin dapat menambahbaik gejala selesema.

Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2015

Peserta-peserta terdiri daripada orang dewasa atau kanak-kanak dengan selesema. Kami tidak termasuk peserta yang mengalami rinitis alergi, asma atau ekzema. Kesan antihistamin yang berbeza telah dibandingkan dengan plasebo. Kesan bermanfaat bermaksud pengurangan tahap keterukan atau tempoh penyakit secara umum dan/atau gejala tertentu seperti hidung tersumbat, hidung berair atau bersin. Kami juga menyiasat sama ada kesan sampingan adalah lebih lazim dengan antihistamin berbanding plasebo.

Oleh kerana selesema lazimnya pulih dalam tempoh tujuh hingga 10 hari, kebanyakan kajian adalah jangka pendek. Di mana mungkin kami telah mengkaji kesan serta merta dan kesan selepas enam hingga 10 hari. Kebanyakan kajian berkualiti baik walaupun di dalam beberapa kajian terdapat kurang maklumat untuk membolehkan penilaian kualiti. Kami menganggap lima daripada 16 kajian orang dewasa dan satu daripada dua kajian pediatrik adalah berkualiti sangat baik.

Semua kajian telah menggariskan sokongan kewangan yang diterima daripada syarikat-syarikat farmaseutikal dalam bentuk geran, membekalkan ubat intervensi masing-masing atau mempunyai satu penulis yang sedang bekerja dengan sebuah syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama
Dalam orang dewasa, terdapat kesan manfaat jangka pendek terhadap tahap keterukan gejala-gejala keseluruhan pada hari pertama atau kedua rawatan (45% berasa lebih baik berbanding dengan 38% plasebo), tetapi tiada perbezaan di antara antihistamin dan plasebo pada jangka pertengahan hingga jangka panjang. Kesan sedasi antihistamin terhadap rinorea dan bersin adalah terlalu kecil untuk menjadi relevan kepada pesakit dan melibatkan risiko kesan sampingan seperti sedasi (9% berbanding 5.2% dengan plasebo). Kajian dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih kecil dan berkualiti rendah dan kurang bukti keberkesanan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information