Ubat-ubatan untuk membantu orang berhenti merokok: satu gambaran keseluruhan tinjauan ulasan

Latar belakang
Merokok merupakan penyebab utama kematian awal di serata dunia. Terdapat beberapa ubat yang boleh membantu orang untuk berhenti merokok. Tiga daripadanya, terapi penggantian nikotin / nikotina (NRT), bupropion dan varenicline, dilesenkan bagi tujuan ini di Amerika Syarikat (USA) dan Eropah. Cytisine (sama seperti varenicline) dilesenkan untuk kegunaan di Rusia dan Eropah Timur. Kami mengkaji semula kajian-kajian ini dan rawatan-rawatan lain, termasuk nortriptyline, untuk membandingkan manfaat-manfaat dan risiko-risiko mereka.
Kaedah-kaedah
Kami menjumpai 12 ulasan Cochrane yang terdiri daripada rawatan yang berbeza-beza. Rawatan-rawatannya termasuklah terapi penggantian nikotina (NRT); ‘antidepressants’ (bupropion dan nortriptyline); agonis separa reseptor nikotina (varenicline dan cytisine); ‘anxiolytics’; antagonis reseptor kanabinoid khusus jenis 1 (rimonabant); clonidine; lobeline; dianicline; mecamylamine; Nicobrevin; antagonis opioid; vaksin nikotina; dan asetat perak. Kajian-kajian semula telah dijalankan antara 2008 hingga 2012, dan 267 kajian telah dianalisis, meliputi lebih dari 101,000 perokok. Semua ulasan menggunakan kajian-kajian rawak terkawal, dan membandingkan rawatan aktif dengan plasebo, dan kadang-kadang dengan rawatan lain. Hasil diukur sekurang-kurangnya enam bulan dari mula rawatan, dan keputusan biasanya telah diperiksa melalui ujian nafas, darah atau air kencing. Kami turut menilai risiko bahaya daripada setiap rawatan. Kami kemudian membandingkan NRT, bupropion dan varenicline antara satu sama lain, menggunakan rangkaian meta-analisis.
Keputusan-keputusan
NRT dan bupropion membantu kira-kira lebih 80% orang untuk berhenti daripada plasebo; ini bermakna bagi setiap 10 orang yang berhenti dengan plasebo kira-kira 18 boleh dijangka untuk berhenti dengan NRT atau dengan bupropion. Varenicline menyebabkan lebih daripada dua kali ganda peluang berhenti berbanding dengan plasebo, iaitu bagi setiap 10 yang berhenti dengan plasebo kira-kira 28 boleh dijangka berhenti dengan varenicline.
Varenicline membantu kira-kira lebih 50% orang untuk berhenti berbanding tampalan nikotina dan NRT yang lain (tablet / biji pil, semburan, ‘lozenges’ dan sedutan), dan kira-kira lebih 70% orang daripada gula-gula getah nikotina. Yang demikian bagi setiap 10 orang yang berhenti dengan tampalan NRT atau NRT lain, kira-kira 15 boleh dijangka untuk berhenti dengan varenicline, dan bagi setiap 10 yang berhenti dengan gula-gula getah NRT kira-kira 17 boleh dijangkakan untuk berhenti dengan varenicline. Menggabungkan dua jenis NRT memberikan kesan yang sama seperti varenicline, dan membantu lebih ramai orang untuk berhenti daripada satu jenis NRT. Terdapat sedikit pilihan antara jenis NRT yang berbeza, selain dari NRT yang lain, yang membantu lebih sedikit orang berbanding gula-gula getah nikotina; untuk setiap 10 orang yang berhenti dengan gula-gula getah NRT, lebih kurang 12 boleh dijangka untuk berhenti dengan NRT yang lain.
NRT digabungkan dengan nortriptyline atau dengan bupropion tidak lebih berkesan daripada NRT sahaja.
Kedua-dua cytisine dan nortriptyline berbanding dengan plasebo meningkatkan peluang untuk berhenti, dengan risiko bahaya yang minima.

Bupropion membawa risiko sawan yang diketahui (kira-kira 1 dalam 1000 pengguna), tetapi kami menjumpai kurang daripada jangkaan dalam kajian yang dimasukkan dan dipinggirkan, kira-kira 1 dalam 1500. Walaupun mungkin ada sedikit peningkatan dalam kemungkinan apa-apa kejadian buruk yang serius semasa mengambil bupropion, kami tidak menemui penambahan risiko masalah neuropsikaitrik atau jantung dan peredaran darah di dalam kajian bupropion. Bukti untuk keselamatan varenicline masih disiasat; kami tidak menemui bukti daripada kajian bahawa ia dikaitkan dengan peningkatan dalam masalah neuropsikaitrik /’neuropsychiatric’, atau dengan peningkatan masalah jantung dan peredaran darah.

Clonidine membantu orang untuk berhenti, tetapi menyebabkan kesan-kesan sampingan. Adalah tidak jelas sama ada mecamylamine yang digunakan dengan NRT dapat membantu orang untuk berhenti. Rawatan lain pula seolah-olah tidak membantu. Setakat ini, vaksin nikotina tidak dilesenkan untuk kegunaan di serata dunia. Nicobrevin tidak lagi didapati di UK, dan rimonabant, taranabant dan dianicline telah kesemuanya ditarik balik dari pasaran.
Kesimpulan
NRT, bupropion dan varenicline kesemuanya meningkatkan peluang untuk berhenti merokok, dengan risiko bahaya yang rendah.
Penggunaan kombinasi NRT adalah berkesan seperti varenicline, dan lebih berkesan daripada satu jenis NRT.
Cytisine mempunyai potensi sebagai rawatan yang selamat, berkesan dan dengan harga yang mampu dibeli.
Nortriptyline meningkatkan peluang untuk berhenti, dengan bukti kejadian bahaya yang sedikit.
Kami memerlukan pemantauan berterusan ke atas keselamatan varenicline.
Penyelidikan yang lebih banyak dalam NRT berbanding plasebo berkemungkinan tidak mengubah pemahaman kami mengenai rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information