Vaksin untuk mencegah herpes zoster (kayap) di kalangan orang dewasa yang lebih tua

Soalan ulasan
Terdapat vaksin untuk mencegah kayap. Objektif kami adalah untuk menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin untuk mencegah kayap pada orang tua yang sihat.

Latar belakang
Virus varicella zoster menyebabkan cacar air dan boleh kekal tidak aktif di dalam sel-sel saraf. Selepas bertahun-tahun, ia boleh diaktifkan semula, bergerak melalui saraf ke kulit dan menghasilkan lepuh di sepanjang perjalanan saraf. Ini dipanggil herpes zoster atau kayap. Ia menjejaskan orang yang mempunyai ketahanan badan yang rendah seperti orang yang lebih tua. Sebelum lepuh terbentuk, orang yang terlibat mungkin merasa gatal-gatal, kebas, kepedihan atau sakit pada tempat tertentu. Herpes zoster menyebabkan radang pada saraf dan kesakitan yang teruk, yang boleh menjejaskan kualiti hidup. Terdapat kira-kira 5.22 episod herpes zoster untuk setiap 1000 orang yang lebih tua. Ini semakin meningkat, sebahagiannya kerana orang hidup lebih lama.

Ciri ciri kajian
Bukti kajian adalah terkini sehingga 26 October 2015. Kami mendapati 13 kajian rawak terkawal termasuk 69,917 orang dewasa lebih tua yang sihat. Hanya lima daripada 13 kajian adalah berkualiti tinggi dan mempunyai risiko serong yang rendah . Syarikat-syarikat ubatan yang menghasilkan vaksin membiayai semua kajian-kajian yang terlibat.

Keputusan utama dan kualiti bukti
Semua kajian terlibat telah dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi dan melibatkan orang tua yang sihat yang berkulit putih sahaja (> 60 tahun) tanpa sebarang masalah kekurangan daya ketahanan badan.

Satu kajian besar telah melibatkan 38,546 orang berusia 60 tahun atau lebih. Ia membandingkan vaksin dengan plasebo (vaksin palsu). Ia adalah satu kajian yang berkualiti tinggi, yang menunjukkan bahawa vaksin tersebut sangat berkesan dalam mencegah kayap selama tiga tahun (bukti berkualiti sederhana). Kebanyakan kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh vaksin adalah gejala-gejala ringan hingga sederhana di tempat suntikan. Vaksin yang disejukkan menybabkan kurang kesan buruk di tempat suntikan berbanding vaksin beku. Suntikan vaksin ke dalam otot menyebabkan kurang kesan buruk berbanding apabila ia disuntik di bawah kulit (subcutaneously). Vaksin herpes zoster menyebabkan kurang kesan buruk daripada vaksin 'pneumo 23'.

Satu vaksin baru, yang belum sedia untuk kegunaan klinikal, sedang diuji. Vaksin ini mengandungi sebahagian kecil daripada virus varicella zoster serta bahan-bahan yang merangsangkan tindak balas imun badan. Satu kajian termasuk 8122 para peserta yang terpilih secara rambang untuk menerima vaksin baru atau vaksin plasebo telah menunjukkan bahawa mereka yang berada dalam kumpulan vaksin baru mengalami sedikit kurang episod herpes zoster dan lebih kesan buruk ringan hingga sederhana daripada mereka dalam kumpulan plasebo (bukti kualiti sederhana) .

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan