Antiseptik tali pusat untuk mencegah jangkitan kuman dan kematian di kalangan bayi baru lahir

Tali pusat menghubungkan bayi dan ibu semasa tempoh mengandung. Tali pusat dipotong selepas kelahiran. Tunggul tali pusat kemudian menjadi kering dan gugur, biasanya dalam tempoh lima hingga 15 hari. Jangkitan kuman pada tunggul tali pusat (omphalitis), disebabkan oleh bakteria kulit, adalah penyebab penyakit dan kematian yang signifikan bagi bayi baru lahir di negara-negara yang sedang membangun.Ulasan ini menilai semua kajian yang menaksir antiseptik yang disapukan pada tali pusat untuk menentukan samada ia mengurangkan risiko infeksi tali pusat dan kematian. Tiga puluh empat kajian rawak terkawal yang melibatkan 69,338 bayi telah dimasukkan. Terdapat 22 intervensi yang berlainan telah dikaji. Antiseptik yang paling biasa dikaji oleh kajian yang dimasukkan adalah 70% alkohol, 'triple dye' dan chlorhexidine. Tiga kajian dilakukan dalam persekitaran komuniti di negara yang sedang membangun; yang bakinya dilakukan di persekitaran hospital, kebanyakannya dalam negara-negara maju. Kajian-kajian yang dilakukan dalam persekitaran komuniti adalah besar dan menyumbangkan sebanyak 78% daripada semua peserta-peserta yang terlibat dalam ulasan ini. Kajian-kajian yang melibatkan hospital adalah kecil dan terdapat had.

Kajian-kajian yang dilakukan di persekitaran komuniti menilai keberkesanan aplikasi 'topikal' chlorhexidine dan keputusan yang digabungkan menunjukkan chlorhexidine menurunkan risiko kematian sebanyak 23% dan risiko jankitan kuman tali pusat dari 27% kepada 56%, bergantung kepada keterukan jangkitan. Aplikasi topikal chorhexidine mungkin menambahkan masa pemisahan tali pusat sebanyak 1.7 hari. Bagaimanapun, ini tidak menambahkan risiko jangkitan tali pusat atau kematian selanjutnya.

Tiada sebarang kajian yang dilakukan di persekitaran hospital melaporkan data untuk risiko kematian atau penyakit kancing gigi (tetanus). Tiada antiseptik didapati berfaedah untuk mencegah jankitan tali pusat berbanding dengan jagaan kering tali pusat di persekitaran hospital. Aplikasi 'triple dye' secara topikal mengurangkan kolonisasi bakteria Staphylococcus aureus berbanding dengan jagaan kering tali pusat dan aplikasi alkohol. Tiada kebaikan aplikasi alkohol dan 'triple dye' untuk mengurangkan kolonisasi streptococcus. Aplikasi alkohol secara topikal adalah berfaedah dalam mengurangkan kolonisasi Enterococcus coli berbanding jagaan kering tali pusat dan aplikasi 'triple dye'. Masa pemisahan tali pusat bertambah dengan aplikasi topikal alkohol dan 'triple dye' berbanding dengan jagaan kering tali pusat di persekitaran hospital. Tiada kajian yang mencukupi untuk menentukan keberkesanan antiseptik yang lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. 

Tools
Information