Intervensi untuk merawat osteoradionekrosis tulang rahang yang dikaitkan dengan ubat bifosfonat.

Soalan sorotan

Bagaimana rawatan yang dikaitkan dengan bifosfonat atau 'BRONJ' berkesan dan tahap keselamatannya.

Latarbelakang

Bifosfonat adalah ubat-ubatan yang serupa dengan pirofosfat (bahan yang biasa terdapat dalam tulang).Ia diguna untuk mengurangkan simtom dan komplikasi akibat penularan kanser tulang serta mencegah dan merawat osteoporosis (keadaan yang mana lubang-lubang halus dalam tulang menjadikan tulang rapuh). Ubat-ubatan ini boleh menyebabkan keadaan serius yang dipanggil osteoradionekrosis rahang akibat bifosfonat atau 'BRONJ'.BRONJ mempengaruhi penyembuhan tulang yang rosak dengan mengganggu proses pembuangan tulang mati dan pembentukan tulang baru. Apabila ini terjadi, beberapa bahagian atau semua bahagian tulang rahang menjadi peroi (seperti kapur) dan seterusnya tulang mati ini boleh terdedah. Ini menyukarkan untuk makan, bercakap atau memberus gigi dan kerap menyebabkan sakit yang teramat.

Terdapat pelbagai rawatan yang diguna untuk BRONJ pada masa kini.Rawatan boleh dikategori sebagai rawatan tidak invasif (seperti antibiotik dan ubat kumur mulut), pendekatan surgikal atau rawatan tambahan bagi meningkatkan penjagaan biasa (misalnya terapi ozon atau penggunaan plasma darah yang diperkaya dengan platelet). Pelbagai rawatan boleh digabungkan.

Ciri kajian

Penulis sorotan yang berkerja dengan Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane menjalankan pencarian meluas sehingga 15 Disember 2015 untuk kajian-kajian yang melibatkan peserta diagih secara rawak dengan pelbagai rawatan untuk BRONJ (atau keadaan plasebo yang tiada rawatan aktif). Rekabentuk kajian ini dipanggil 'kajian rawak terkawal'.Kami hanya mendapati satu kajian lengkap dan dua kajian yang sedang dilaksanakan. Kajian lengkap tersebut membandingkan pesakit BRONJ yang dirawat secara surgikal, antibiotik dan ubat kumur mulut berbanding pesakit yang menerima 'penjagaan piawai' dengan rawatan tambahan terapi oksigen hiperbarik yang dianggap dapat meningkatkan pembentukan tulang.Terdapat 49 peserta, yang kebanyakannya mempunyai kanser.

Keputusan utama

Kajian mendapati bahawa peserta kumpulan intervensi lebih cenderung menunjukkan peningkatan dalam sembuhan osteoradionekrosis sehingga tiga bulan berbanding kumpulan penjagaan piawai, namun tiada perbezaan nyata di antara kedua-dua kumpulan apabila dinilai pada enam, 12 dan 18 bulan dan pertemuan akhir.Tiada perbezaan nyata antara kumpulan pada sebarang masa untuk sembuhan sempurna.Keputusan-keputusan ini tidak boleh dipercayai kerana bukti adalah berkualiti rendah.Kajian ini tidak menilai jika terdapat sebarang kesan sampingan rawatan.

Kualiti bukti

Kajian ini mempunyai beberapa kelemahan: misalnya, bilangan peserta yang sangat kecil, sesetengah peserta bertukar kumpulan semasa kajian dan terdapat juga kehilangan peserta semasa kajian.

Rumusan penulis

Tiada bukti lengkap untuk merumuskan sama ada terapi oksigen hiperbarik adalah berguna sebagai tambahan kepada penjagaan piawai dalam rawatan BRONJ. Terdapat dua kajian teriparatid, sejenis rawatan hormon untuk BRONJ.Kami tidak menjumpai sebarang kajian rawak terkawal untuk BRONJ.Oleh kerana kekurangan bukti saintifik yang berkualiti baik untuk menentukan cara terbaik merawat BRONJ, kajian klinikal berkualiti tinggi adalah diperlukan. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini sila hubungi hayatikk@usm.my 

Tools
Information