Rawatan ayurveda untuk diabetes melitus

Orang yang mempunyai diabetes dan penyakit kronik lain sering menggunakan ubat-ubatan pelengkap dan alternatif. Ulasan ini menilai keberkesanan dan keselamatan penggunaan pelbagai rawatan Ayurveda untuk diabetes melitus. Kami mendapati tujuh kajian melibatkan 354 peserta (172 orang menerima rawatan, 158 orang kumpulan kawalan, 24 orang tidak boleh diklasifikasikan). Semua kajian tersebut melibatkan orang dewasa yang menghidap diabetes melitus jenis 2. Enam kajian tersebut menguji lima jenis campuran herba (ubat-ubatan proprietari) yang berbeza dan hanya satu menguji rawatan Ayurveda 'keseluruhan sistem'. Tempoh rawatan adalah antara 3 hiingga 6 bulan. Satu kajian menunjukkan setiap Diabecon, Inolter dan Cogent DB (campuran herba proprietari) dapat mengurangkan hemoglobin A1c terglikosilat (HbA1c) dengan lebih signikan pada akhir rawatan berbanding dengan kumpulan kawalan. Dua kajian Diabecon, dan satu kajian Cogent DB (campuran herba proprietari) mendapati pengurangan tahap gula berlapar yang lebih signikan pada akhir rawatan dalam dalam kumpulan rawatan. Tiada kematian diperhatikan dalam ujian-ijian ini dan tiada perbezaan yang ketara dalam kesan sampingan antara kumpulan intervensi dan kumpulan kawalan. Satu kajian yang melibatkan Pankreas tonik melaporkan tiada perubahan ketara dalam kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Tiada kajian yang melaporkan atau direka untuk menyiasat komplikasi diabetes, kematian akibat sebarang sebab dan kos. Walaupun keputusan positif dan ketiadaan kesan sampingan yang serius didapati dalam beberapa kajian, kesimpulan yang kukuh tidak boleh dibuat kerana kaedah kajian yang lemah dan bilangan peserta yang dinilai adalah kecil. Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menilai keberkesanan rawatan-rawatan ini. Pakar perubatan Ayurveda secara umumnya menggunakan campuran pelbagai herba atau persediaan proprietari bersama-sama dengan diet, senaman dan cara hidup. Rawatan biasanya diindividukan dengan mengambil kira keseimbangan tiga 'doshas'. Mungkin intervensi yang dianalisis dalam kajian ini bukan replika sebenar amalan Ayurveda tetapi hanya menilai beberapa komponen secara berasingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information