Rawatan untuk tekanan darah tinggi dalam orang dewasa berumur 18 hingga 59 tahun

Soalan ulasan

Penyelidik ingin mengkaji kebaikan dan kemudaratan menggunakan ubat mengurangkan tekanan darah (antihipertensi) dalam orang dewasa berumur 18 hingga 59 tahun dengan tekanan darah yang tinggi (hipertensi).

Penyelidik telah mencari penulisan perubatan yang boleh didapati untuk mencari semua kajian yang menilai soalan ini. Data yang dimasukkan dalam kajian ini adalah sehingga Januari 2017.

Latar belakang

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko strok, serangan jantung dan kegagalan jantung; oleh itu, matlamat rawatan utama dengan ubat antihipertensi adalah untuk mengurangkan risiko ini. Terdapat bukti yang mencukupi, kebanyakannya dalam orang yang berumur lebih dari 60 tahun bahawa terapi antihipertensi mengurangkan hasil ini.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik mendapati tujuh kajian yang membahagikan secara rawak 17,327 orang berumur 18 hingga 59 tahun dengan tekanan darah tinggi, kepada mendapat ubat antihipertensi atau plasebo (rawatan yang berpura-pura) /tanpa rawatan. Purata tempoh rawatan adalah lima tahun. Kelas perubatan yang dikaji dalam kebanyakan orang termasuklah ubat yang dipanggil thiazide diuretics atau perencat beta

Keputusan utama

Rawatan mungkin mempunyai kesan yang sedikit atau tiada ke atas kematian yang berpunca daripada sebarang sebab berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan (2.4% dengan plasebo/tanpa rawatan berbanding 2.3% dengan rawatan; bukti berkualiti rendah) dan ia boleh mengurangkan jumlah orang yang mengalami penyakit jantung atau kematian disebabkan oleh penyakit jantung daripada 4.1% kepada 3.2% (bukti berkualiti rendah). Ia boleh mengurangkan sedikit kadar mendapat angin ahmar iaitu daripada 1.3% kepada 0.6% (bukti berkualiti rendah). Penyelidik juga tidak pasti tentang kesan rawatan terhadap bilangan orang yang arterinya tersumbat (bukti berkualiti rendah). Penarikan diri disebabkan oleh kesan sampingan yang meningkat daripada 0.7% kepada 3.0% walaupun kualiti bukti bagi keputusan ini adalah sangat rendah. Kesan rawatan terhadap tekanan darah adalah berbeza-beza antara kajian dan penyelidik tidak pasti seberapa banyak perbezaan rawatan yang dibuat secara purata.

Kesimpulan

Ubat antihipertensi untuk orang dewasa yang berumur 18 hingga 59 tahun dengan tekanan darah tinggi mempunyai sedikit kesan baik dalam mengurangkan mendapat angin ahmar. Namun, kematian yang disebabkan oleh punca dan serangan jantung tidak dikurangkan dan penarikan diri adalah disebabkan oleh peningkatan kesan sampingan.

Kualiti bukti

Keseluruhan bukti telah digredkan sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan