G. lucidum (cendawan Reishi) untuk rawatan kanser

Terdapat peningkatan bilangan pesakit yang didiagnosis dengan kanser setiap tahun. Sesetengah kemalignanan telah menjadi penyebab utama kematian dalam beberapa populasi. Orang yang telah didiagnos dengan kanser mahu melakukan segala yang mereka mampu untuk memerangi penyakit ini, menguruskan gejala dan menangani kesan sampingan radio/ kemoterapi. Kebanyakkan beralih kepada perubatan komplemantari dan alternatif. Ekstrak G. lucidum adalah ubat yang digunakan secara meluas oleh pengamal perubatan tradisional Cina (TCM) untuk hal ini. Ia sering disyorkan sebagai penambah sokongan sistem imun dalam rawatan kanser. Penyelidikan makmal terkini dan kajian prelinikal G. lucidum telah menunjukkan keputusan aktiviti antitumour yang berpotensi. Namun, bukti klinikal keberkesanannya adalah kurang dan ulasan sistematik diperlukan untuk menyediakan maklumat kolektif untuk pengguna penjagaan kesihatan.

Ulasan kami mengenal pasti dan seterusnya memasukkan lima kajian rawak terkawal yang relevan. Sejumlah 373 subjek dianalisis. Analisis meta dilakukan untuk mengumpul data sedia ada dari kajian-kajian individu. Keputusan kami mendapati pesakit dengan ekstrak G. lucidum dalam regimen antikanser mereka adalah 1.27 kali lebih berkemungkinan untuk respon kepada kemoterapi atau radioterapi daripada mereka yang tanpanya. Namun, data gagal menunjukkan kesan yang ketara terhadap pengecutan tumor apabila digunakan secara bersendirian. Di samping itu, G. lucidum dapat merangsang fungsi imun perumah dengan meningkatkan peratusan limfosit CD3, CD4 dan CD8. Namun, aktiviti pembunuh semulajadi (NK) yang dicadangkan untuk menjadi penunjuk pertahanan diri terhadap sel tumor, meningkat sedikit. Pesakit dalam kumpulan G. lucidum didapati mempunyai kualiti hidup yang lebih baik selepas rawatan berbanding kumpulan kawalan. Beberapa kes kesan sampingan kecil yang berkaitan dengan rawatan G. lucidum termasuklah mual dan insomnia dilaporkan.

Terdapat batasan dalam keputusan ulasan sistematik ini. Pertama, kebanyakan kajian yang dimasukkan adalah kecil dan terdapat kebimbangan tentang kualiti metodologi kajian-kajian individu. Kedua, semua peserta dalam kajian-kajian individu adalah direkrut dari populasi China. Secara keseluruhan, keteguhan dan kebolehgunaan keputusan telah terjejas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information