Agen antidiabetik oral untuk wanita dengan diabetis atau menghidap diabetis terdahulu sebelum merancang kehamilan, atau wanita hamil yang menghidap diabetis

Apakah isunya?

Diabetis yang sedia ada dan diabetis gestasi boleh meningkatkan risiko beberapa hasil buruk untuk kedua-dua ibu dan bayi. Bagi ibu, ini termasuk tekanan darah tinggi yang disebabkan oleh kehamilan (praeklampsia) dengan pengekalan cecair tambahan dan protein dalam air kencing; dan bersalin secara caesarean. Bagi bayi, ia boleh termasuk kelahiran pramasa; serta peningkatan risiko kecacatan fizikal semasa lahir seperti kecacatan jantung, otak, spina, dan kecacatan korda spina, sindrom Down; dan keguguran spontan. Komplikasi kelahiran lain termasuk bayi yang besar untuk usia gestasi, dan pelahiran terhalang (distosia bahu) yang disebabkan oleh salah satu bahu terperangkap dalam kanal lahir apabila kepala bayi dilahirkan.

Mengapakah ini penting?

Kehamilan boleh mencetuskan diabetis (diabetis gestasi) dalam kalangan wanita dengan gangguan tolerans glukosa. Wanita yang pernah menghidap diabetis gestasi berisiko mendapat diabetis di kemudian hari. Ini bermakna pengurusan adalah penting untuk wanita dengan gangguan tolerans glukosa atau diabetes gestasi terdahulu, dan juga untuk wanita dengan diabetis. Wanita yang menghidap diabetis memerlukan kawalan gula darah yang baik sebelum hamil. Insulin memberi kawalan gula darah yang baik dan tidak mempengaruhi perkembangan bayi, tetapi wanita mungkin mendapati agen antidiabetik oral lebih mudah dan boleh diterima daripada suntikan insulin. Walau bagaimanapun, hanya sedikit yang diketahui tentang kesan agen-agen oral ini.

Ulasan ini bertujuan menyiasat kesan agen antidiabetik oral dalam kalangan wanita dengan diabetis, gangguan tolerans glukosa atau diabetis gestasi terdahulu yang merancang kehamilan, atau wanita hamil dengan diabetis sedia ada, terhadap kesihatan ibu dan bayi. Ulasan ini adalah kemas kini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2010.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mencari bukti kajian rawak terkawal (RCT) pada 31 Oktober 2016 dan memasukksn enam RCT (707 wanita). Tiga RCT memasukkan wanita yang menghidap diabetis gestasi dan tidak melaporkan data secara berasingan untuk populasi wanita yang relevan dengan ulasan ini. Oleh itu, kami hanya memasukkan data hasil daripada tiga RCT, yang melibatkan 241 wanita hamil dan bayi mereka. Kualiti bukti dinilai sebagai rendah atau sangat rendah dan risiko bias keseluruhan RCT adalah berbagai-bagai. Ketiga-tiga RCT membandingkan agen antidiabetik oral (metformin) dengan insulin dalam kalangan wanita hamil dengan diabetis sedia ada (jenis 2).

Tiada perbezaan jelas dalam perkembangan pra-eklampsia (tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing) bagi wanita yang menerima metformin berbanding insulin (2 RCT; 227 wanita; bukti berkualiti sangat rendah), walaupun wanita yang menerima metformin kurang mungkin mendapat tekanan darah tinggi yang disebabkan oleh kehamilan dalam satu RCT (206 wanita; bukti berkualiti rendah). Wanita yang menerima metformin kurang berkemungkinan bersalin secara caesarean (3 RCT; 241 wanita; bukti berkualiti rendah), walaupun tiada perbezaan dilihat dalam induksi pelahiran (2 RCT, 35 wanita, bukti berkualiti sangat rendah). Tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan bayi yang dilahirkan kepada ibu yang menerima metformin atau insulin untuk menjadi usia yang besar untuk bayi (1 RCT; 206 bayi; kualiti bukti sangat rendah), walaupun bayi yang dilahirkan kepada ibu yang menerima metformin adalah kurang berkemungkinan mempunyai gula darah rendah (hipoglisemia) (3 RCTs; 241 bayi; kualiti bukti sangat rendah). Tiada kematian bayi (sebelum lahir atau tidak lama selepas itu) (2 RCT; kualiti bukti sangat rendah). RCT tidak melaporkan banyak hasil jangka pendek dan jangka panjang yang penting, termasuk trauma perineal dan hasil gabungan kematian bayi atau morbiditi, kemurungan postnatal dan pengekalan berat untuk ibu, dan adipositi atau kecacatan pada masa kanak-kanak atau dewasa untuk bayi.

Apakah maksudnya?

Tiada bukti yang cukup untuk membimbing kami tentang kesan agen antidiabetik oral dalam kalangan wanita yang menghidap diabetis, gangguan tolerans glukosa atau wanita dengan diabetis gestasi terdahulu yang sedang merancang kehamilan, atau wanita hamil dengan diabetis sedia ada. RCT lanjutan dengan rekabentuk lebih baik diperlukan dan boleh menilai dan melaporkan hasil yang dicadangkan dalam ulasan ini, termasuk hasil jangka pendek dan jangka panjang untuk ibu dan bayi mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save