Intervensi untuk loya dan muntah pada awal kehamilan

Loya, jeluak atau mual, dan muntah pada awal kehamilan adalah sangat lazim dan boleh jadi sangat distres untuk wanita. Banyak rawatan tersedia untuk wanita dengan 'mabuk hamil', termasuk ubat-ubatan dan terapi komplemen dan alternatif. Disebabkan kebimbangan pengambilan ubat-ubatan boleh menjejaskan perkembangan janin, ulasan ini bertujuan untuk memeriksa jika rawatan-rawatan ini telah didapati berkesan dan selamat.

Ulasan ini mendapati kekurangan bukti yang berkualiti tinggi untuk menyokong sebarang nasihat tentang intervensi yang mana untuk digunakan. Kami memeriksa 41 kajian rawak terkawal rawak yang melibatkan 5449 wanita pada awal kehamilan. Kajian-kajian ini memeriksa keberkesanan banyak rawatan termasuk akutekanan kepada titik P6 pergelangan tangan, akustimulasi, akupunktur, halia, chamomile, vitamin B6, minyak lemon, minyak pudina, dan beberapa ubat-ubatan yang digunakan untuk mengurangkan rasa loya atau muntah. Beberapa kajian menunjukkan manfaat dalam menambah baik gejala loya dan muntah untuk wanita, tetapi kesan umum tidak konsisten dan terhad. Secara keseluruhan, kajian-kajian mempunyai risiko bias rendah yang dikaitkan dengan pembutaan dan melaporkan semua peserta dalam kajian-kajian. Namun beberapa aspek kajian tidak dilaporkan dengan lengkap seperti bagaimana peserta diperuntukkan kepada kumpulan adalah tidak jelas dan tidak semua keputusan dilaporkan sepenuhnya dan jelas. Kebanyakan kajian mempunyai cara yang berbeza untuk mengukur gejala loya dan muntah dan oleh itu, kami tidak dapat menilai bersama-sama penemuan. Sebilangan kecil kajian melaporkan hasil buruk terhadap ibu dan janin dan terdapat sangat sedikit maklumat tentang keberkesanan rawatan untuk menambah baik kualiti hidup wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save