Saringan untuk diabetes semasa kehamilan yang berdasarkan profil-profil risiko dan situasi yang berbeza untuk mempertingkatkan kesihatan ibu dan bayi

Apakah isunya?

Apakah kesan-kesan daripada saringan semua wanita untuk diabetes semasa kehamilan (GDM), berbanding dengan hanya menyaring mereka yang berisiko? Apakah kesan-kesan daripada menyaring wanita untuk GDM dalam situasi yang berbeza (seperti komuniti berbanding dengan hospital)? Ulasan ini mengemaskini sebuah 'Cochrane Review', yang mula diterbitkan pada tahun 2010, dan kemudiannya dikemaskinikan pada tahun 2014.

Mengapakah ini penting?

GDM merupakan sejenis diabetes yang boleh dihidapi semasa kehamilan, dan boleh meningkatkan risiko komplikasi bagi para ibu dan bayi-bayi mereka. Wanita dengan GDM adalah lebih cenderung untuk menghidapi pra-eklampsia (tekanan darah tinggi dan protein dalam air kencing) dan memerlukan pembedahan caesarean. Bagi bayi, masalah-masalah yang berpotensi termasuklah saiz yang lebih besar untuk usia gestasi (membesar lebih besar daripada kebiasaannya), atau mempunyai hipoglisemia (gula darah rendah) selepas kelahiran. Walaupun GDM biasanya hilang selepas kelahiran, para ibu dan bayi-bayi mereka adalah berisiko mendapat kencing manis jenis ke dua pada masa akan datang.

Merawat GDM boleh meningkatkan hasil kesihatan. Wanita selalunya tidak tahu mereka menghidapi GDM. Saringan untuk mengenal pasti dan merawat GDM di kalangan wanita hamil boleh meningkatkan hasil kesihatan. Dua pendekatan utama adalah 'universal' dimana semua wanita menjalani pemeriksaan; dan 'terpilih' atau berdasarkan 'faktor risiko' dimana hanya wanita yang 'berisiko' disaring. Faktor-faktor risiko untuk GDM termasuklah etnik-etnik tertentu, peningkatan umur, berat badan berlebihan atau obes, mempunyai bayi besar pada kelahiran sebelumnya, atau sejarah keluarga GDM atau kencing manis jenis ke dua. Adalah berkemungkinan untuk menyaring GDM dalam situasi yang berbeza, seperti dalam komuniti (contoh: klinik pengamal perubatan) atau di hospital. Kaedah saringan yang ideal untuk GDM bagi mendorong hasil kesihatan yang terbaik untuk para ibu dan bayi-bayi mereka adalah masih kurang jelas.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami telah mencari bukti-bukti (Januari 2017) dan termasuk dua buah kajian yang melibatkan 4523 orang wanita dan bayi mereka. Kedua-dua kajian dijalankan di Ireland dan berada pada risiko berat sebelah yang sederhana ke tinggi. Kami tidak boleh menggabungkan data daripada kajian tersebut kerana mereka melihat pada intervensi dan perbandingan yang berbeza. Satu kajian membandingkan saringan 'universal' dengan saringan berdasarkan 'faktor risiko' untuk GDM. Kajian saringan yang lain membandingkan wanita di klinik pengamal perubatan am (penjagaan primer) mereka dan hospital (penjagaan sekunder).

Dalam satu kajian (dengan maklumat yang sedia ada untuk 3152 orang wanita), lebih ramai wanita disahkan menghidapi GDM di kumpulan wanita yang menerima saringan 'universal', berbanding dengan kumpulan wanita yang menerima saringan berdasarkan 'faktor risiko' (bukti kualiti rendah). kajian ini tidak melaporkan hasil kesihatan yang berkaitan dengan para ibu, termasuk masalah tekanan darah tinggi semasa kehamilan, kelahiran secara caesarean, trauma perineum, pertambahan berat badan semasa kehamilan, kemurungan selepas bersalin, dan diabetes jenis kedua. Kajian ini tidak melaporkan hasil yang berkaitan dengan para bayi termasuk bayi yang dilahirkan besar untuk umur gestasi, kematian (sebelum atau sejurus selepas lahir), kematian atau komplikasi serius, hipoglisemia atau kegemukan, diabetes jenis ke dua dan kehilangan upaya ketika zaman kanak-kanak atau dewasa.

Dalam kajian yang kedua (dengan maklumat yang sedia ada untuk 690 orang wanita ), saringan di klinik pengamal perubatan berbanding hospital tidak mempunyai perbezaan yang ketara kepada bilangan wanita yang menghidapi GDM (bukti kualiti rendah), tekanan darah tinggi (bukti kualiti rendah), pra-eklampsia (bukti kualiti rendah), atau bilangan wanita yang mengalami kelahiran secara caesarean (bukti kualiti rendah). Kajian ini tidak melaporkan trauma perineum, pertambahan berat badan semasa kehamilan, kemurungan selepas bersalin, atau diabetes jenis ke dua. Saringan di klinik pengamal perubatan berbanding di hospital tidak boleh memberi perbezaan yang ketara kepada bilangan bayi yang dilahirkan besar untuk umur gestasi (bukti kualiti rendah), kematian (sebelum atau sejurus selepas lahir), kematian atau komplikasi yang serius (bukti kualiti rendah), atau hipoglisemia (bukti kualiti yang sangat rendah). Kegemukan ketika zaman kanak-kanak atau dewasa, diabetes jenis 2 dan kehilangan upaya juga tidak dilaporkan dalam ujian ini.

Apakah maksud ini?

Tidak terdapat bukti mencukupi untuk membimbing kami pada kesan-kesan saringan untuk GDM berasaskan profil-profil risiko atau seting yang berbeza pada hasil kesihatan untuk wanita dan bayi-bayi mereka. Ujian rawak terkawal yang lebih besar, rekaan yang baik adalah diperlukan bagi menilai hasil kesihatan jangka pendek dan jangka panjang yang penting bagi para ibu dan bayi-bayi mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh Chan MW (Penang Medical College). Sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini boleh hubungi fairuzfr@yahoo.com

Tools
Information